Input your search keywords and press Enter.

Agih Vaksin COVID-19 Tanpa Diskriminasi – SUHAKAM

Kerajaan digesa memberikan vaksin COVID-19 secara percuma kepada semua penduduk. – Gambar hiasan

M Update, 27/01/2021 – Kerajaan digesa memberikan vaksin COVID-19 secara percuma kepada semua penduduk, termasuk golongan rentan, pelarian, migran, orang tanpa kewarganegaraan, tahanan dalam pusat tahanan dan banduan tanpa diskriminasi berdasarkan status kewarganegaraan mereka.

Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) dalam kenyataan memaklumkan, hak kesihatan adalah hak asasi yang sepatutnya dinikmati oleh semua orang.

Akses kepada penjagaan kesihatan, termasuk vaksin adalah satu aspek penting bagi hak kepada kesihatan.

“Golongan rentan, pelarian, pekerja migran, pekerja tanpa dokumen dan orang tanpa kewarganegaraan menghadapi risiko dipinggirkan dalam sistem kesihatan sedia ada atas pelbagai sebab termasuk status dan kewarganegaraan mereka serta ketidakmampuan untuk menanggung kos penjagaan kesihatan.

“Ia dilaporkan bahawa terdapat kira-kira 2.5 juta pekerja migran berdokumen di negara ini, dan ini tidak termasuk bilangan pekerja migran tanpa dokumen kerana tiada data yang jelas tentang perkara ini,” kata kenyataan itu, hari ini.

Susulan itu, adalah penting agar hak penerima vaksin dipertimbangkan untuk semua apabila kerajaan mengagihkan vaksin COVID-19.

“SUHAKAM mengambil maklum Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV) merancang untuk mencadangkan agar vaksinasi percuma diberikan kepada pekerja migran dalam negara.

“Susulan itu, pihak kami berharap JKJAV dapat memperhalusi perkara ini dan memastikan vaksinasi percuma diberikan kepada semua,” kata kenyataan itu.