Input your search keywords and press Enter.

Malaysia, UAE Setuju Tingkat Kerjasama, Lonjak Peluang Ekonomi

Foto: Hishammuddin Hussein

M Update, 10/2/2021 – Malaysia dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) bersetuju meningkatkan kerjasama, khususnya dalam merangsang peluang ekonomi memandangkan kedua-dua negara menumpukan kepada pemulihan ekonomi yang kukuh dan berdaya tahan selepas berakhirnya pandemik COVID-19.

Menurut kenyataan Kementerian Luar, Menterinya, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein serta Menteri Hal Ehwal Luar dan Kerjasama Antarabangsa UAE, Sheikh Abdullah bin Zayed mengadakan pertemuan yang konstruktif dan produktif, dan kedua-dua menteri berpuas hati dengan kedudukan hubungan dua hala semasa di antara kedua-dua negara.

“Dalam konteks ini, kedua-dua menteri berbincang mengenai inisiatif penting di bawah empat bidang utama kerjasama dalam era selepas pandemik, iaitu perdagangan dan pelaburan; pertanian dan keselamatan makanan; kesihatan; dan pertukaran diplomatik,” katanya semalam.

Foto: Twitter Hishammuddin Hussein

Kementerian itu juga berkata, lawatan kerja berkenaan menyediakan dorongan baharu ke arah hubungan yang lebih kukuh dan mesra di antara Malaysia dan UAE, di samping menjadi antara rakan dagangan utama Malaysia dengan nilai keseluruhan perdagangan di antara kedua-dua negara berjumlah US$6.43 bilion (RM 26.04 bilion) pada 2019.

UAE juga adalah destinasi eksport terbesar Malaysia dan sumber import kedua terbesar di wilayah Asia Barat, kata kementerian itu. Menurut kenyataan itu lagi, berikutan kedudukannya yang strategik di Asia Tenggara, Malaysia komited menjadi pintu gerbang kepada UAE memasuki pasaran Asia Tenggara yang mempunyai populasi sekitar 650 juta orang.

Hishammuddin kembali ke tanah air semalam dan akan menjalani kuarantin wajib sebagai mematuhi prosedur operasi standard COVID-19 yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan, kata kementerian itu. – BERNAMA