M Update 15/1/2019 – Universiti Teknologi MARA (UiTM) akan kekal sebagai institusi pengajian tinggi (IPT) khusus bagi orang Melayu dan Bumiputera, tegas Naib Canselornya, Prof Emeritus Datuk Dr Hassan Said.
Beliau berkata, dasar dan matlamat asal penubuhan UiTM masih relevan dengan keadaan semasa, malah ia terbukti berjaya mengimbangi kedudukan Bumiputera serta bukan Bumiputera di negara ini.
“UiTM berjaya memberi kesan besar kepada taraf sosial dan penyatuan bangsa Malaysia. UITM berjaya menyumbang kepada peningkatan ekuiti untuk menyatu padukan negara.
“Tiada keperluan ke arah itu (membuka UiTM kepada bukan Bumiputera). Dasar ini perlu dikekalkan kerana masih ramai dari pedalaman dan orang miskin yang memerlukan UiTM,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyaksikan Majlis Menandatangani Memorandum Perjanjian antara UiTM dan Yayasan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (YLTAT) di Bangunan Tuanku Syed Sirajuddin UiTM di sini, hari ini.
Hadir sama, Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu; Ketua Eksekutif LTAT, Nik Amlizan Mohamed dan Pengerusi Lembaga Pengarah UiTM, Datuk Seri Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir.
Beliau mengulas cadangan Pro Canselor UiTM, Tan Sri Dr Arshad Ayub, supaya kemasukan UiTM dibuka kepada bukan Bumiputera, namun hanya untuk kursus pengajian pasca siswazah bagi menjamin keseimbangan persaingan antara pelbagai kaum di negara ini.
Arshad berkata, Malaysia kini berada di persimpangan sejarah yang berupaya menyaksikan laluan kemasukan ke institusi pendidikan tinggi itu diperluaskan untuk bukan Bumiputera.
Arshad, yang juga antara perintis menerajui penubuhan UiTM, berkata Melayu dan Bumiputera turut menyifatkan mahasiswa UiTM kurang terdedah kepada cara pemikiran di luar ruang lingkup budaya mereka sendiri.
Mengulas lanjut, Hassan berkata dakwaan penuntut UiTM hanya bersaing sesama sendiri adalah tidak tepat kerana mereka sentiasa didedahkan dengan pelbagai program di luar kampus.
“UiTM juga ada program mobiliti yang mana penuntutnya pergi ke IPT swasta….mereka ini belajar di IPT swasta untuk satu atau dua semester.
“Begitu juga dengan penuntut IPT lain dalam kalangan kaum lain, mereka boleh juga datang ke UiTM untuk belajar bagi tempoh beberapa semester,” katanya.
Sumber : Berita Harian