M Update, 30/1/2019 – Dua hari lagi Liga Malaysia (Liga M) 2019 akan membuka tirai, dan semua pasukan giat melakukan persiapan akhir untuk cuba memulakan saingan dengan langkah kanan.
Dua aksi Liga Super melibatkan Kuala Lumpur menentang Pahang dan Terengganu bertemu PKNS akan berlangsung pada Jumaat, 1 Februari.
Baki perlawanan diadakan pada Sabtu dan Ahad, termasuk aksi paling mencuri tumpuan iaitu perebutan Piala Sultan Ahmad Shah (Sumbangsih) di antara penyandang juara Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT) dan juara Piala Malaysia, Perak.
Pertemuan JDT-Perak akan berlangsung di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin pada Sabtu pukul 9 malam.
Dua hari sebelum musim baharu bermula, juara Piala Malaysia 33 kali, Selangor mengadakan kursus motivasi buat pemain serta pegawai Red Giants. Selain daripada persiapan fizikal, kekuatan mental dan persefahaman juga amat penting bagi meningkatkan mutu permainan sesebuah pasukan.
“Hari ini, para pemain dan pegawai pasukan Selangor sedang melalui sesi kursus motivasi sebagai persiapan menjelang sepak mula Liga Super 3 Februari,” menurut Selangor FA dalam Facebook rasmi mereka. Selangor yang kurang bernasib baik dalam Liga Super musim lalu akan memulakan kempen dengan menentang Felda United di Stadium Shah Alam, Ahad ini.
Esok,
pasukan yang dijangka menjadi pencabar utama Liga Super musim ini,
Melaka United pula mengadakan majlis bacaan Yassin serta doa selamat
bagi menghadapi musim baharu. Skuad Sang Kancil akan diuji oleh pendatang baharu liga, MIFA dalam aksi sulung di Stadium Hang Jebat pada Sabtu. – UTUSAN ONLINE