Input your search keywords and press Enter.

Anugerah abang tersayang

M-Update,13/2/2019, Permaisuri: Walaupun dia kanak- kanak istimewa, naluri Muhammad Hisyam Ismail, 11, sebagai abang melebihi kanak-kanak normal apabila dia menjaga adiknya, Nur Dina, 7, dengan penuh kasih sayang sepanjang mereka berada di sekolah termasuk berkongsi sepinggan nasi dan segelas air bersama. Murid Sekolah Kebangsaan (SK) Putera Jaya itu yang juga pemegang kad orang kurang upaya (OKU) kerana masalah pembelajaran tidak pernah melepaskan tangan adiknya ketika mereka berjalan bersama di sekolah selain turut memastikan adik kesayangannya itu makan dengan sempurna.

Gelagat rutin Muhammad Hisyam dari Kampung Pak Kancil Dalam di sini, menyuap makanan yang diperoleh menerusi program Rancangan Makanan Tambahan (RMT) untuk adiknya setiap pagi menyentuh hati guru sekolah berkenaan yang kemudian merakamkan saat itu sehingga gambar berkenaan tular di media sosial.Gambar dua beradik itu ternyata meruntun hati netizen yang turut menurunkan pelbagai komen, malah ada yang mengakui menitiskan air mata melihat kasih sayang sejati dizahirkan Muhammad Hisyam kepada adik kesayangannya itu.

Keunikan kisah kasih sejati seorang abang kepada adik itu juga mencetus perasaan hiba kepada Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Mohamed Hanipa Maidin yang kemudian menyampaikan Anugerah Unsung Hero kepadanya menerusi satu program anjurannya di sekolah berkenaan, semalam.Muhammad Hisyam berkata, dia tidak pernah menyangka akan diangkat sebagai contoh kepada murid lain di sekolah itu dan berharap apa yang dilakukan dapat menjadi ikutan kepada rakan sebaya lain.

“Saya pun tak tahu viral (tular) itu apa. Hari ini (semalam) saya dapat naik pentas dan terima anugerah pula depan kawan. Mestilah saya bangga dan seronok dan harap mereka dapat ikut yang baik-baik,” katanya yang pemalu. Dia berkata, dia tidak kisah berkongsi makanan dan minuman dengan adiknya kerana tidak mahu Nur Dina belajar dalam keaadan lapar sebelum mereka memulakan sesi pembelajaran di kelas.

Ibunya, Nor Seri Idayu Mohamed, 32, berkata, Muhammad Hisyam memang anak yang penyayang dan menjaga adiknya lebih daripada dirinya sendiri, malah sering menyuapkan makanan kepada adiknya.Menurutnya, sejak kecil Muhammad Hisyam yang juga anak kedua daripada empat beradik dan anaknya yang lain dididik supaya sentiasa berkasih sayang dan mengambil berat antara satu sama lain.

“Daripada kecil kami didik dia supaya sentiasa berkongsi makanan dan tidak kedekut. Jika di rumah, selagi adik-beradik dan ahli keluarga tidak lengkap berkumpul, dia tidak akan menjamah makanan.“Walaupun dia kanak-kanak istimewa, dia sangat rajin membantu saya terutama membasuh peralatan membuat kuih, mengemas rumah dan menjaga adiknya, malah dia juga menjaga solat.

“Di rumah pun dia gemar menyuapkan makanan kepada adik-adiknya dan kakaknya berusia 14 tahun turut melakukan hal sama,” katanya yang mengambil upah membuat kuih di rumahnya.Menurutnya, setiap pagi suaminya, Ismail Setapa, 32, yang bekerja sebagai pemotong rumput menghantar dua beradik itu ke sekolah menaiki motosikal setiap hari dan hubungan mereka akrab dan rapat kerana bersekolah sama sejak dua tahun lalu.

“Sebelum ini Muhammad Hisyam belajar di Kelas Pendidikan Khas di SK Kampung Buluh tetapi sejak Nur Dina mengikuti prasekolah di sekolah berkenaan, kami menukarkan Muhammad Hisyam ke sekolah sama,” katanya.Sementara itu, Guru Besar SK Putera Jaya Mohd Sabri Mat Jaya berkata, Nur Dina juga layak mendapat kemudahan RMT untuk murid tahun satu yang bermula bulan depan.

“Disebabkan itulah setiap pagi Muhammad Hisyam berkongsi dan menyuap makanan dan minuman dengan adiknya,” katanya.

–HarianMetro

Leave a Reply