M Update, 26/2/2019 – Kadet Bomba dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kanowit yang hilang ketika cuba menyelamatkan tiga rakannya yang hanyut selepas bot dinaiki karam di Sungai Kanowit, Ahad lalu, ditemukan lemas, hari ini.
Mayat mangsa, Carlos Paee, 15, ditemui terapung 8.10 pagi tadi kira-kira 35 kilometer dari lokasi dia dikatakan terjun untuk menyelamatkan rakannya dalam kejadian 1 tengah hari, Ahad lalu. Ketika kejadian itu, Carlos bersama seorang rakannya yang berada di tebing sungai terjun untuk menyelamatkan tiga rakan lain yang dibawa arus deras selepas bot dinaiki untuk ke dusun buah-buahan di seberang sungai, tiba-tiba karam.
Bagaimanapun, usaha mereka tidak berhasil berikutan arus terlalu deras menyebabkan rakannya berenang semula ke tebing, namun Carlos hilang dari pandangan.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kanowit, Arrahman Chik berkata, tiga rakan mangsa berjaya diselamatkan penduduk kampung yang kebetulan menaiki perahu melalui kawasan kejadian. Beliau berkata, gerakan mencari dan menyelamat (SAR) mangsa dilancarkan selepas laporan kehilangannya diterima 1.46 tengah hari, Ahad lalu.
Katanya, hari ini pasukan SAR menyusuri sungai berkenaan seawal 7 pagi sebelum menemui mayat mangsa terapung. Sejurus ditemui, mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya ketika dihubungi hari ini. Difahamkan, sehari sebelum kejadian, Carlos menyertai perkhemahan Kadet Bomba di sekolahnya.
Sumber : HM ONline