Input your search keywords and press Enter.

Jorginho julang Chelsea

M-Update,4/3/2019, LONDON: Jorginho meledak gol kemenangan 2-1 Chelsea ke atas kelab bergelut Fulham, malam tadi ketika penjaga gol Kepa Arrizabalaga memadam kontroversi di Wembley untuk tampil dengan aksi cemerlang.

Skuad kendalian Maurizio Sarri mendahului permainan menerusi jaringan Gonzalo Higuain pada minit ke-20 tetapi pantas disamakan Calum Chambers tujuh minit berselang.

Begitupun, kedudukan di Craven Cottage itu tidak bertahan lama selepas Jorginho mengembalikan kelebihan pelawat pada minit ke-31 yang menjadi jaringan pertamanya musim ini.

Chelsea juga perlu mengucapkan terima kasih kepada Kepa yang melakukan beberapa aksi menyelamat hebat selepas rehat tatkala The Blues yang mengisi tangga keenam liga kini hanya dibezakan dua mata dengan Manchester United di tangga keempat.

Sarri sebelum ini menggugurkan Kepa ketika Chelsea merakam kemenangan 2-0 ke atas Tottenham minggu lalu sebagai hukuman terhadap keengganan penjaga gol itu mengikuti arahannya untuk digantikan.

Insiden ‘pelik’ itu menyaksikan Chelsea tewas kepada Manchester City dalam aksi final Piala Liga menerusi penentuan penalti.

Sejurus insiden itu, Sarri menegaskan Kepa masih ‘pilihan utamanya’ dan penjaga gol termahal dunia itu kembali merampas tempat Willy Caballero selepas satu perlawanan.

Fulham pada masa kecederaan menyangka mereka berjaya mengikat Chelsea selepas memperoleh gol menerusi Ryan Sessegnon tetapi jaringan itu dibatalkan susulan ofsaid.

Kekalahan menyaksikan Fulham yang dikendalikan pengurus sementara, Scott Parker kekal di tangga kedua tercorot selepas tewas lapan daripada sembilan perlawanan terakhir liga dan berada 10 mata daripada zon selamat. – AFP

Leave a Reply