M Update, 6/3/2019 – TIGA stesen Transit Aliran Massa (MRT) bagi Laluan Sungai Buloh ke Kajang (SBK) ditutup sepenuhnya Sabtu dan Ahad ini bagi memberi laluan kerja pembinaan sesimpang untuk ke landasan depoh Sungai Buloh.
Ketua Pegawai Operasi MRT SBK, Azmi Mohd Zain berkata, penutupan bagi tempoh dua hari itu yang bermula pada 6 pagi hingga 12 tengah malam membabitkan stesen MRT Sungai Buloh, Kampung Selamat dan Kwasa Damansara.
“Perkhidmatan bas perantara akan disediakan dari Stesen Kwasa Sentral melalui Kampung Selamat dan Sungai Buloh pada tempoh itu dengan kekerapan waktu operasinya antara tujuh hingga 10 minit. Bagi memudahkan pengguna, pihak kami akan menyediakan 10 buah bas yang mampu menampung kapasiti 1,000 penumpang dalam masa sejam,” katanya dalam sidang media di Kwasa Damansara, hari ini.
Kata Azmi, pada hujung minggu, pengguna yang masuk ke stesen Sungai Buloh seramai 3,000 orang. Jadi 10 buah bas pengantara yang disediakan mencukupi untuk keperluan pengguna,” katanya.
Sumber : HM Online