M-Update,18/3/2019, LIVERPOOL: Bintang Liverpool, Sadio Mane menjaringkan satu gol dan memainkan peranan penting dalam satu lagi jaringan ketika mereka kembali merampas kedudukan teratas Liga Perdana dengan kemenangan tipis 2-1 berdepan Fulham, semalam.
Ia tampak akan menjadi hari yang mengecewakan buat skuad Juergen Klopp selepas jaringan pembukaan Mane disamakan Ryan Babel berikutan kesilapan Virgil van Dijk, tetapi pemain gantian James Milner meledak jaringan menerusi penalti minit ke-81 untuk memungut mata penuh.
Liverpool kini mengumpul 76 mata daripada 31 perlawanan, dua melebihi juara bertahan, Manchester City yang masih berbaki satu perlawanan. Fulham memiliki 17 mata dan perlu bekerja keras untuk mendaki jika mereka mahu mengelak penyingkiran daripada liga utama. Mane menjaringkan gol kesembilan liga apabila dia meledak jaringan pertama pelawat pada minit ke-26 dengan penamat baik menerusi gaya serangan tipikal Liverpool di bawah Klopp.
Kesilapan Van Dijk memberikan Fulham gol penyamaan pada minit ke-74 apabila tandukannya kepada penjaga gol Alisson Becker disambar bekas pemain sayap Liverpool, Babel yang kemudiannya meledak jaringan.Satu lagi kesilapan kali ini oleh Rico, menentukan keputusan itu apabila gagal menangkap kemas sepakan Mohamed Salah dan kemudian menjatuhkan Mane seterusnya Milner menyempurnakan penalti. – Reuters