M Update, 19/3/2019 – UEFA hari ini membuka siasatan terhadap cara Cristiano Ronaldo meraikan jaringan hatrik ketika Juventus bangkit dalam Liga Juara-Juara menentang Atletico Madrid minggu lalu.
Badan induk bola sepak Eropah itu berkata, Ronaldo berdepan dakwaan “kelakuan tidak sepatutnya” selepas meniru gaya ‘cojones’ Diego Simeone pada saingan awal pagi Rabu lalu ketika menang 3-0 yang membawa Juventus mara dengan agregat 3-2.
Selepas menjaringkan penalti penting empat minit sebelum tamat, Ronaldo menghadap penyokong Atletico dan meniru gaya Simeone selepas pasukan dari Sepanyol itu menang 2-0 pada pusingan pertama. Keputusan akan diambil oleh UEFA pada 21 Mac.
Jurulatih Massimiliano Allegri berkata, dia yakin Ronaldo tidak akan dikenakan denda atau digantung permainan.
“Saya rasa setiap orang ada cara meraikan jaringan di padang dan tempat duduk. Saya tidak nampak apa yang pelik, hanya sekadar meraikan jaringan. Tidak akan ada penggantungan,” kata Allegri.
Sumber : AFP, BH Online