Input your search keywords and press Enter.

The Pocket Rocketman, Pesilat kebangsaan Terima Anugerah

M Update, 19/3/2019 – Jaguh berbasikal trek negara, Azizulhasni Awang dan pesilat kebangsaan, Siti Rahmah Mohamed Nasir masing-masing dinobatkan Olahragawan dan Olahragawati Terengganu 2018 pada Majlis Anugerah Sukan Terengganu (AST) di Dewan Arena Stadium Tertutup Gong Badak, sebentar tadi.

Lebih membanggakan anugerah diraih Azizulhasni yang dikenali sebagai The Pocket Rocketman bukan hanya mempertahankan gelaran dimenangi musim lalu tetapi kali keenam buat dirinya manakala Siti Rahmah mencatat sejarah peribadi kali kedua merangkul anugerah itu.

Pemilihan bekas juara dunia acara keirin 2017 itu adalah berdasarkan kejayaannya memenangi satu pingat emas, satu perak dan satu gangsa pada Sukan Asia di Indonesia tahun lalu.

Raja berbasikal trek negara kelahiran Dungun itu mengetepikan empat lagi atlet iaitu Mohd Nafiizwan Mohd Adnan (skuasy), Mohd Harrif Salleh (berbasikal), Khairul Anwar Mohamad (memanah) dan Arvin Shaun Singh Chanal (renang).

Siti Rahmah pula dipilih selepas memenangi pingat emas pada kejohanan Silat Dunia 2018 di Singapura serta pingat perak pada kejohanan Silat Asia Tenggara 2018.

Dia mengetepikan Alia Sazana Azahari (menembak), Azreen Nabila Alias (olahraga), Nuur Fatin Solehah Abdul Rahman (pelayaran) dan Nur Alia Ghapar dalam acara memanah.

Dengan kemenangan itu Azizulhasni atau lebih mesra dipanggil Jijoe dan Siti Rahmah masing-masing membawa pulang RM7,000 manakala RM2,000 diberi kepada persatuan diwakili, piala pusingan, piala iringan, sepasang blazer dan sijil kepujian.

Sumber : BH Online

Leave a Reply