M Update, 2/4/2019 – Bila berniaga ni ada pasang surutnya lebih-lebih lagi apabila buka restoran atau kedai makan. Banyak risiko yang terpaksa kita hadap sebelum nak capai ke tahap yang selesa.
Tak terkecuali juga penyanyi Ning Baizura terpaksa akur apabila restoran yang baru dibukanya tahun lalu ditutup selepas tiga bulan beroperasi.
Ning berkata, dia dengan berat hati terpaksa menghentikan operasi restoran yang diberi nama Tudung Periuk itu pada Ogos tahun lalu kerana masalah mencari tukang masak.
“Sambutan memang menggalakkan, terutama pada siang hari. Cuma, sebelah malam sambutan agak kurang, memandangkan ada menu yang saya ingin sajikan tidak dapat disediakan.
“Terkilan juga kerana restoran itu adalah simbolik kepada legasi arwah bapa yang pernah mengusahakan perniagaan makanan. Hasrat untuk meneruskan perniagaan masih ada, memandangkan bidang nyanyian bukan lagi punca utama pendapatan saya,”
Restoran yang menyajikan masakan Melayu itu diusahakan Ning bersama suaminya, Omar Sharif Christopher Layton Dalton.
Tidak terus berdiam diri, penyanyi berusia 43 ini sedang merancang untuk membuka restoran baharu, namun konsepnya sedikit berbeza.
“Sebelum ini, kalau peminat datang, sambil makan mereka mahu melihat saya menyanyi, tetapi saya tidak dapat memenuhi permintaan itu.
“Justeru, saya bercadang untuk membuka restoran yang mempunyai tempat khas untuk artis menyanyi. Bukan hanya saya, sebaliknya rakan artis lain juga berpeluang membuat persembahan di situ.
“Saya dan rakan kongsi sudah mengenali pasti lokasi yang sesuai, berkemungkinan di Bangsar,”
Sumber : Berita Harian