M Update, 03/04/2019 – Sejak beberapa bulan kebelakangan, insiden bekalan elektrik terputus kerap berlaku menyebabkan negara itu bergelap dan berlaku kekacauan. Ia menyebabkan pam air elektrik terpadam dan menyebabkan bekalan air terputus.
Rakyat daripada pelbagai latar belakang terpaksa beratur panjang untuk mendapatkan bekalan air minum dan ada juga antara mereka yang terpaksa mengambil air dari kawasan pembentungan untuk kegunaan di tandas.
Dua telaga yang berada di kawasan bukit di kejiranan Petare, kawasan setinggan yang menempatkan lebih 500,000 orang, menyaksikan beratus-ratus orang beratur siang dan malam untuk mendapatkan air.
Mereka membawa apa saja bekas untuk mengisi air, dram, tin, botol, bakul dan ketika giliran mereka tiba mereka mengambil air sebanyak mungkin.
Air itu mungkin tidak boleh diminum tetapi sekurang-kurangnya ia membolehkan mereka mandi dan membasuh pakaian.
“Kami tidak mendapat bekalan air, elektrik dan masalah bekalan tenaga semakin teruk. Makanan busuk,” kata Ernestine Velasco, 78, seorang penduduk yang tinggal di kawasan rumah sederhana di bandar raya itu.
“Kami berdepan waktu yang sukar. Tidak ada pengangkutan dan tidak ada apa-apa,” katanya.
Velasco berkata, kekurangan bekalan air sangat kronik di Caracas, walaupun kosnya agak minimum, perkhidmatan bekalan itu tidak wujud.
“Syukur kepada Tuhan kami ada ini,” katanya sambil menunjuk ke arah dua buah telaga yang berdekatan walaupun keadaan huru-hara membuatkan saya rasa mahu melarikan diri.
Penduduk tempatan masih menunggu syarikat bekalan air negeri untuk memulihkan bekalan, walaupun mereka terpaksa menunggu untuk beberapa jam lamanya. – AFP