M-Update,12/4/2019, PEKAN: Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) bertindak tegas menghalang kemasukan cili merah dari Vietnam yang didapati mengandungi peratusan racun melebihi kadar ditetapkan kerajaan. Pengerusinya, Ishak Ismail, berkata usaha berkenaan mendapat sokongan sepenuhnya Kementerian Pertanian Industri Asas Tani yang memandang serius kes berkenaan kerana boleh menjejaskan kesihatan penduduk.
Katanya, kawalan sudah dilakukan di semua pintu masuk negara selain operasi pemeriksaan di semua 750 pasar tani seluruh negara secara.“Kita sudah memaklumkan peniaga sayuran di semua pasar tani seluruh negara supaya tidak menjual cili merah Vietnam bagi mengelak barang jualan mereka dirampas.
“Cili merah berkenaan dijual pada harga lebih rendah berbanding cili tempatan namun ia membahayakan kesihatan pengguna,” katanya selepas mengadakan lawatan kerja ke Pasar Tani Kekal Pekan, di sini, semalam.Katanya, sekatan terhadap kemasukan cili merah Vietnam itu menyebabkan bekalan cili di pasaran tempatan terutama di pasar tani, pasar borong dan pasar besar berkurangan, namun FAMA sudah mengambil langkah sewajarnya untuk mengatasi masalah itu.
Ishak berkata, permintaan terhadap cili di negara ini sentiasa bertambah hingga memaksa hasil pertanian berkenaan diimport dari beberapa negara luar termasuk Vietnam.“Untuk memastikan bekalan cili sentiasa mencukupi dan tidak terlalu bergantung kepada cili import saya berharap lebih ramai pekebun menanam cili secara komersial.
“Saya difahamkan harga cili import itu antara RM12 hingga RM15 sekilogram, setiap kali tiba musim perayaan harganya meningkat dua hingga tiga kali ganda disebabkan permintaan tinggi dan bekalan tidak mencukupi.“FAMA akan membantu petani yang mengusahakan tanaman sayuran termasuk cili dengan cara memberi bantuan peralatan dan baja.
“Mereka perlu mendaftar sebagai peserta ladang kontrak FAMA daerah dan negeri,” katanya.
–BHarian