Input your search keywords and press Enter.

KISAH MALAYSIA AIRLINES PENYAMBUNG CINTA

Soalan pertama saya ialah masihkah anda ingat bilakah hari pertama anda menaiki kapal terbang? Apakah kapal terbang yang pertama anda naiki? Di negara kita, kapal terbang Malaysia atau singkatannya MAS (Malaysia Airlines Berhad) menjadi kebanggaan rakyat Malaysia sejak dahulu.

Saya mula menaiki kapal terbang MAS ketika berusia 15 tahun iaitu penerbangan selama 45 minit dari Tawau ke Kota Kinabalu. Itu pun kerana terpilih mewakili sekolah dalam kursus kepimpinan Islam peringkat negeri Sabah. Kemudian, pada tahun 1995, saya terpilih dalam Program Pertukaran Pelajar (PPJ) Kementerian Pelajaran Malaysia ke Johor Bahru. Juga menaiki MAS. Ketika itu, bukan setakat keseronokan tetapi juga kebanggaan menyelaputi diri menaiki kapal terbang kebanggaan rakyat yang berlogokan wau bulan.

Generasi hari ini, mungkin tidak sempat merasai penggunaan sudu dan pinggan berkualiti tinggi ketika jamuan disediakan pramugara dan pramugari MAS. Malah kita boleh meminta poskad untuk menulis ucapan kepada guru-guru, keluarga dan rakan-rakan yang kita tinggalkan di kampung halaman. Bukan itu sahaja, kita juga diberikan percuma buku nota, pen, pensil warna, gula-gula dan sebagainya.

Pada hari ini, walaupun MAS mengalami saingan daripada banyak syarikat dalam dan luar negara, tetapi perasaan kasih dan sayang kepada MAS masih lagi mekar berbunga.

Hari-hari seterusnya, saya diberi kesempatan meneroka dunia ini lebih jauh. Kali ini ke London. Ya saya memilih MAS kerana saya mahu ke luar negara dengan kapal terbang kebanggaan negara kita. Alangkah bangganya apabila melihat MAS mendarat megah di bumi London. Saya masih ingat sepanjang penerbangan kira-kira 13 jam itu, layanan pramugara dan pramugari MAS ternyata dengan kelas sendiri, senyuman yang baik, layanan yang lemah-lembut, dan terserlah kesopanan dan kesusilaan bak dalam Rukunegara. Kadangkala saya tertanya-tanya siapakah yang melatih mereka?

Kemudian saya meneruskan penerbangan ke Philadelphia, USA. Malang sekali tiada penerbangan MAS dari London ke Philadelphia. Saya terpaksa menaiki kapal terbang negara lain. Kesilapan saya ialah tidak memesan makanan halal semasa membeli tiket. Maka terpaksalah saya menahan lapar sepanjang kira-kira 12 jam penerbangan ke Philadelphia. Nasib baiklah ada bekalan makanan dari tanah air iaitu ‘burasa’ sejenis nasi yang dibungkus dengan daun pisang dan ianya tahan lama.

Tahun demi tahun MAS melalui pelbagai dugaan, antaranya terpaksa menjual bangunan MAS yang terindah itu. Namun begitu, MAS dapat bertahan kerana mempunyai pengalaman yang panjang serta reputasi yang baik, keyakinan rakyat masih lagi kepada MAS, malah MAS juga masih diyakini di luar negara. Semasa berada di dalam zaman sukar akibat isu ekonomi global, MAS masih mampu meraih pelbagai anugerah penerbangan di luar negara seperti Pensijilan Penerbangan 5-bintang di Anugerah Penerbangan Dunia SKYTRAX 2013.

Alhamdulillah, MAS kini tidak statik dengan lamunan zaman kegemilangannya. Saya perhatikan, MAS bijak menyerap tekanan, berjaya melepasi pelbagai onak dan duri. Hari ini, kadangkala MAS menawarkan kepada anda harga yang lebih murah berbanding syarikat penerbangan yang lain. MAS sudah mampu menyediakan perkhidmatan yang mampu dinaiki oleh segenap lapisan masyarakat.

Ternyata, MAS dan rakyat Malaysia tidak dapat dipisahkan walaupun MAS tidaklah 100% sempurna. Kasih rakyat kepada MAS tidak tenggelam di ufuk timur. Sebaliknya, rakyat sentiasa bersama-sama dengan MAS ketika susah dan senang.

Apakah impian anda kepada MAS? Impian saya ialah, pertama suatu masa kelak saya mahu melihat kembali sebuah bangunan pencakar langit MAS kembali berdiri megah di tengah-tengah ibu kota. Kedua, kelak saya mahu melihat kembali MAS menyediakan semula pen dan poskad percuma supaya MAS kembali menjadi penyambung kasih kepada sesiapa sahaja yang terpisah dengan orang yang mereka sayangi. Pendek kata, walau jauh di perantauan, MAS ada menjadi penghubung cinta pengikat jiwa kepada Negara kita.

Selamat Membaca

KLIA, 15 April 2019.

Leave a Reply