Input your search keywords and press Enter.

Bahana Dadah Kepada Kita

Dadah meupakan bahan kimia yang amat berbahaya kepada individu yang menyalahgunakannya kerana dadah ini akan mengubah cara minda dan tubuh badan manusia berfungsi. Penyalahgunaan dadah merupakan sesuatu yang amat merbahaya kepada masyarakat manusia, sama ada dari segi rohani mahupun jasmani. Amalan ini didapati semakin berleluasa dan amat membimbangkan dalam masyarakat seluruh dunia, termasuk negara kita Malaysia.

Kerosakan akibat gejala dadah ini sangatlah besar. Ancamannya bukan sahaja kepada diri penagih, bahkan seluruh ahli keluarga, jiran tetangga, masyarakat dan negara. Ia buka sahaja menghilangkan kewarasan akal, melenyapkan keharmonian, menghancurkan kegembiraan, malah akan diwarnai dengan tangisan dan penyesalan yang berpanjangan.

Selain itu, dadah menjadi punca utama berlakunya jenayah dan maksiat. Menjadi ancaman kepada kesejahteraan masyarakat dan pihak berkuasa. Menjana peningkatan jenayah mencuri, meragut, merompak, merogol, dan membunuh. Mangsanya bukan hanya orang yang tidak dikenali tetapi sesiapa sahaja termasuk ibubapa sendiri. Malah, individu yang terlibat dengan dadah akan hilang rasa takut dengan hukuman tali gantung, penjara seumur hidup, sebat dan rotan yang dikenakan kerana sikap tamak dan pengaruh wang, kepuasan nafsu dan sebagainya.

Islam menyatakan pendirian yang jelas berkenaan hukum penyalahgunaan dadah. Para ulama bersepakat terhadap pengharamannya, kerana kesamaan sifat dan ‘illahnya dengan arak, sesuatu yang memberikan kesan memabukkan dan menghilangkan kewarasan akal. Oleh itu hukum penyalahgunaan dadah adalah haram seperti hukum peminum arak yang dianggap ibu segala maksiat dan kejahatan. Firman Allah SWT dalam surah Al Maidah ayat 90:




“Wahai orang-orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak, dan judi, dan pemujaan berhala, dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji) dari perbuatan syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya.”


Ayat ini di perkukuhkan lagi dengan hadis riwayat daripada Ibnu Umar Radhiallahu Anhu bahawa Rasulullah SAW bersabda:



“Setiap perkara yang memabukkan itu adalah arak, dan setiap arak itu hukumnya haram.” (Riwayat Muslim).

Angkara penyalahgunaan dadah, telah meranapkan harapan ibubapa dan guru-guru, memusnahkan impian saudara mara dan menghancurkan masa depan anak-anak dan isteri, malahan kesan yang lebih dahsyat lagi ialah memusnahkan maruah agama, bangsa dan negara .

Pada prinsipnya, mereka yang terlibat dengan dadah merupakan suatu perbuatan jenayah dan berdosa besar kerana telah mencampakkan diri kelembah kehinaan. Sedarlah bahawa perbuatan itu sebenarnya akan menjauhkan diri daripada Allah SWT.

Oleh itu, usaha-usaha membanteras dan memerangi dadah serta jenayah yang seumpamanya adalah suatu perbuatan mulia yang sangat dituntut oleh agama sebagai satu amal ibadat. Tanggungjawab ini bukan hanya terletak kepada Agensi Anti Dadah Kebangsaan sahaja, tetapi memerlukan sokongan yang menyeluruh oleh semua lapisan masyarakat.

Sumber ~ Jabatan Agama Islam Selangor

Leave a Reply