Input your search keywords and press Enter.

TPM gesa semua pihak sokong pembangunan tenaga mahir negara

M-Update,16/4/2019, KUALA LUMPUR: Semua pihak di negara ini digesa bekerjasama dan menggembleng tenaga serta kepakaran bersama sokongan padu bagi memperkukuh dan meningkatkan pembangunan tenaga mahir kompetetif.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, berkata kerjasama agensi awam, swasta, individu dan badan korporat itu penting kerana Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) mempunyai peranan amat signifikan dalam memastikan industri negara berkembang maju.

Pada masa sama, beliau berkata, sumber manusia yang berpengetahuan dan berkemahiran tinggi adalah pemacu kepada kekuatan ekonomi sesebuah negara.“Justeru, setinggi penghargaan dan terima kasih kepada penggerak industri utama negara dan institusi yang aktif dalam pembangunan serta latihan industri TVET.

“Saranan saya agar lebih banyak industri di Malaysia bergiat aktif membantu meningkatkan lagi kompetensi dan kualiti tenaga kerja mahir yang bakal dilahirkan, secara tidak langsung turut menyumbang kepada pembangunan industri itu sendiri,” katanya.Beliau berkata demikian dalam teks ucapan dibacakan Menteri Sumber Manusia, M Kulasegaran pada majlis pelancaran “Road To WSC Kazan 2019 Gold” di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Menteri Sumber Manusia merangkap Pengerusi Majlis Pertandingan Kemahiran Malaysia (MPKM), Datuk Mahfuz Omar.Tahun ini, Malaysia akan menghantar 20 peserta bertanding dalam 20 acara pada Pertandingan Kemahiran Dunia (WSC) di Kazan, Russia dari 16 hingga 26 Ogos. Dr Wan Azizah berkata, salah satu kaedah memartabat dan mempromosi TVET adalah dengan mempergiatkan lagi aktiviti pertandingan kemahiran di semua peringkat.

Katanya, Malaysia sudah menjadi ahli World Skill International (MSI) pada 1992 dan mulai menyertai WSC pada 1993.Sehingga kini, beliau berkata, Malaysia telah menyertai 13 pertandingan dengan pencapaian terbaik adalah di WSC di Abu Dhabi, Emiriah Arab Bersatu pada 2017 dengan dua pingat gangsa dicapai dalam bidang Teknologi Automobil dan Masakan, manakala sembila peserta menerima ‘Medallion for Excellence’.

“Penyertaan dalam pertandingan kemahiran antarabangsa ini memberi impak dan manfaat besar kepada negara termasuk mengiktiraf tahap kemahiran belia dan pelajar dalam TVET serta menanda aras tahap kemahiran peserta negara di peringkat dunia.“Ia juga memartabatkan pendidikan TVET di peringkat antarabangsa dan melahirkan lebih ramai tenaga mahir negara bertaraf dunia,” katanya.

Katanya, latihan intensif dan menyeluruh telah dan akan diteruskan bagi memastikan peserta negara benar-benar bersedia dari semua aspek, sama ada kemahiran teknikal, sikap, motivasi, jati diri dan ketahanan fizikal.“Antara inisiatif program persediaan yang dilaksanakan oleh Jabatan Pembangunan Kemahiran, Kementerian Kerja Raya dan agensi TVET yang lain termasuk melaksanakan latihan secara berpusat dibimbing pakar dan jurulatih.

“Peserta juga menjalani latihan di industri, menyertai pertandingan kemahiran peringkat antarabangsa bagi memberi pengalaman dan meningkatkan keyakinan diri serta melaksanakan beberapa siri kem motivasi bagi meningkatkan semangat juang peserta,” katanya.

Timbalan Perdana Menteri merakamkan penghargaan kepada barisan pakar negara dan jurulatih daripada agensi TVET dan industri yang bekerja keras dalam memastikan peserta pertandingan itu dipersiapkan dalam segala aspek.

–Bharian

Leave a Reply