M-Update,17/4/2019, KUALA LUMPUR – Harga perkhidmatan jalur lebar berkelajuan tinggi secara puratanya menurun sebanyak 49 peratus sejak akhir tahun lepas, kata Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM). Menurut SKMM dalam satu kenyataan, kejayaan itu hasil inisiatif yang dijalankan kerajaan pada tahun lepas bagi menurunkan harga jalur lebar iaitu Kelajuan Berganda Pada Separuh Harga.
Ini menyaksikan jumlah langganan jalur lebar tetap meningkat daripada 2.59 juta orang pada 2017 kepada 2.66 juta orang pada 2018. Selain itu, seramai 36.8 juta orang pula merupakan pelanggan jalur lebar mudah alih dengan penambahan sebanyak 1.5 juta pelanggan pada 2018.
“Peningkatan itu didorong oleh capaian liputan 3G dan 4G/LTE yang lebih meluas dengan kualiti rangkaian yang lebih baik serta peningkatan persaingan dalam pasaran jalur lebar,” kata kenyataan itu.- Bernama