M Update, 18/04/2019 – Boeing sudah menjalankan ujian penerbangan terakhir menggunakan sistem anti-pegun yang diperbaharui ke atas model 737 MAX menjelang pensijilannya oleh pihak berkuasa penerbangan, kata pengeluar pesawat udara itu hari ini.
Ketua Pegawai Eksekutif, Dennis Muilenberg sempat memuat naik video di twitter mengesahkan penerbangan ujian itu dijalankan Selasa lalu.
Menurut Muilenberg, setakat ini 120 penerbangan ujian membabitkan lebih 203 jam masa penerbangan dijalankan menggunakan perisian diperbaharui untuk Sistem Penambahan Kriteria Pengemudian (MCAS).
Penyiasat percaya kepincangan sistem itu menjadi faktor di sebalik kemalangan membabitkan Lion Air dan Ethiopian Airlines pada Oktober dan Mac lalu, yang mengorbankan hampir 350 orang.
Difahamkan, kedua-dua insiden menyaksikan pesawat menjunam sebaik berlepas, menandakan wujudnya masalah pada sistem yang digunakan untuk membetulkan kepincangan aerodinamik yang cenderung menarik muncung pesawat ke atas.
“Lebih daripada 85 peratus pengendali 50-plus MAX di seluruh dunia turut berpeluang menyaksikan sendiri versi yang diperbaharui itu beraksi ketika sesi simulasi,” tambah Muilenberg.
Semua pesawat 737 MAX digantung penerbangannya dari ruang udara dunia sejak nahas Ethiopian Airlines pada 10 Mac lalu.
Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA) Selasa lalu berkata, sebahagian daripada pengubahsuaian yang dicadangkan itu ‘sesuai untuk operasi’ tetapi tidak akan tergesa-gesa meluluskannya. – AFP