M Update, 18/4/2019 – Seorang penunggang motosikal putus kaki kanan selepas terbabit dalam kemalangan di Jalan Jelutong di sini, petang semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 5.30 petang itu, Muhammad Kamil Raja Mydin, 18, putus kaki kanan sehingga paras lutut selepas motosikalnya dipercayai terbabas sendiri.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Che Zaimani Che Awang, berkata ketika mangsa bersama pembonceng yang juga teman wanitanya, Siti Nuraishah Mydin Koya, 18, datang dari arah Jalan CY Choy menghala ke Jalan Sungai Pinang. Apabila sampai di Jambatan Besi di Jalan Jelutong, penunggang dipercayai terbabas sendiri dan terlanggar besi bahagian tengah jambatan yang menyebabkan kaki kanannya putus.
Bagaimanapun, rakan wanitanya cuma cedera ringan di kaki kanan dan dirawat sebagai pesakit luar di Hospital Pulau Pinang (HPP),” katanya dalam satu kenyataan, malam ini. Che Zaimani berkata, Muhammad Kamil menerima rawatan di wad pembedahan HPP untuk menyambung kakinya yang putus. Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – BH Online