M Update, 19/4/2019 – Seorang remaja lelaki maut selepas tertimbus ketika mendulang emas di Ladang Fokus Bonanza, Dabong, Kuala Krai, petang semalam. Dalam kejadian jam 3.15 petang, mangsa Mohamad Amiraasyraf Azman, 17, tertimbus ketika mendulang emas bersama bapanya.
Bapa mangsa bergegas meminta bantuan rakan sebelum mayat mangsa ditemui jam 6.40 petang dan dihantar ke Klinik Kesihatan Dabong.
Ketua Polis Daerah Kuala Krai, Superintendan Abdullah Roning, berkata mangsa mendulang bersama ayahnya sejak jam 11 pagi sebelum berlaku tanah runtuh menyebabkan remaja berkenaan tertimbus.
Pemeriksaan fizikal di Klinik Kesihatan Dabong mendapati mangsa tidak cedera dan bedah siasat akan dijalankan di Hospital Kuala Krai (HKK) bagi mengenal pasti punca kejadian,” katanya. – BH Online