M Update, 19/04/2019 – Indonesia berjaya melaksanakan pilihan raya yang rumit tetapi dalam keadaan aman di negara yang terkenal dengan kepelbagaian etnik, masih berusaha mengekalkan demokrasi di tengah-tengah kerajaan autoritarian, kata penganalisis.
Pada Rabu lalu, negara kepulauan Asia Tenggara itu menyaksikan seramai 190 juta pengundi keluar mengundi untuk memilih presiden, ahli parlimen dan pembuat dasar tempatan, dalam tempoh sehari yang mencatat rekod tersendiri, membabitkan 245,000 calon.
Keputusan kiraan awal menunjukkan penggal kedua memihak kepada Presiden Joko Widodo (Jokowi) tetapi beliau belum mengumumkan kemenangan kerana masih menunggu keputusan rasmi bulan depan.
Bagaimanapun, pencabarnya, seorang bekas jeneral, Prabowo Subianto yang mempunyai hubungan rapat dengan bekas pemimpin diktator, Suharto yang ditumbangkan pada 1998, menegaskan kemenangannya dan berikrar untuk mencabar keputusan pilihan raya itu.
Beliau melakukan tindakan yang sama ketika kalah di tangan Jokowi pada 2014 dan hanya segelintir yang mengatakan Prabowo bakal menang pada pilihan raya kali ini.
Walaupun ketidakpastian berlarutan, prestasi demokrasi Indonesia masih jauh berbeza dengan beberapa kerajaan di Asia Tenggara antaranya, Filipina dan Kemboja; kerajaan autoritarian Vietnam dan Laos, kerajaan pasca junta Myanmar dan pilihan raya huru hara kali pertama di Thailand, sejak rampasan kuasa pada 2014.
“Rantau yang tidak cenderung ke arah demokrasi, malah amalan autoritarianisme semakin meningkat, demokrasi di Indonesia masih kuat pengaruhnya, walaupun ia berubah lebih konservatif,” kata Penyelidik di Institut Penyelidikan Kontemporari Asia Tenggara yang berpangkalan di Bangkok.
Media tempatan melaporkan, sebagai tanda bersetuju kepada penyertaan pengundi, rekod peninjau menunjukkan kira-kira 82 peratus pengundi keluar mengundi minggu ini, jumlah tertinggi sejak pilihan raya 2004.
“Orang ramai mengundi dan melakukan perubahan. Rakyat Indonesia menggunakan kuasa mereka, terutama pengundi muda,” kata Pakar Asia Tenggara Universiti John Cabot, di Rome, Bridget Welsh.
Katanya, perkembangan itu sangat baik untuk mendapatkan tadbir urus yang lebih baik.
Bagaimanapun, Welsh secara kritis mengkritik rekod Jokowi, timbul keraguan sama ada pemimpin berusia 57 tahun itu bakal menggunakan modal politiknya untuk menjaga perkembangan demokrasi selama dua dekad yang dikhuatiri semakin lemah.
“Ramalan saya untuk tempoh lima tahun akan datang kita akan terus menyaksikan kualiti demokrasi yang bakal terhakis secara perlahan, tetapi tidak terus menghapuskan autoritarian,” kata Profesor Madya di Universiti Kebangsaan Australia, Marcus Mietzner,
Jokowi juga pernah dituduh mengamalkan autoritarian susulan penahanan beberapa penyokong pembangkang di bawah undang-undang hasutan elektronik yang kontroversi.
Pada masa sama pejabatnya juga membenarkan Jakarta melarang perhimpunan besar-besaran. Terdapat pihak juga yang bimbang terhadap perkembangan baharu yang menyaksikan tentera turut ikut campur dalam mengawasi kedudukan kerajaan awam di negara yang mempunyai 260 juta penduduk. – AFP