M Update, 22/04/2019 – Tujuh pengebom nekad dipercayai terbabit dalam serangan ke atas beberapa gereja dan hotel mewah di Sri Lanka yang mengorbankan 290 mangsa, selain mengakibatkan lebih 500 lagi cedera.
“Dua daripada pengebom nekad meletupkan diri di Hotel Shangri-La di pinggir laut Colombo.
“Pengebom nekad yang lain menyasar tiga gereja dan dua hotel lain,” kata pegawai kanan bahagian forensik kerajaan, Ariyananda Welianga.
Yang turut menjadi sasaran adalah sebuah lagi hotel dan rumah di pinggir bandar Colombo, tetapi tidak diketahui bagaimana serangan itu dijalankan di kedua-dua lokasi berkenaan.
“Siasatan masih dijalankan,” kata Welianga.
Setakat ini, tiada pihak mengaku bertanggungjawab terhadap serangan pada hari Easter itu, yang berlaku ketika orang ramai menghadiri perjumpaan di gereja dan menikmati sarapan di hotel.
Menurut laporan, letupan bom berlaku serentak, iaitu pada jam 8.45 pagi (waktu tempatan), manakala dua bom lagi meletup dalam tempoh 20 minit selepas itu.
Insiden letupan di hotel keempat dan sebuah rumah berlaku pada waktu tengah hari.
Sebahagian besar mangsa yang maut dan cedera adalah rakyat Sri Lanka, sementara 32 warga asing dilaporkan terbunuh, termasuk dari Britain, Amerika Syarikat, Turki, India, China, Denmark, Belanda dan Portugal. – Reuters