M Update, 29/4/2019 – Status agama dalam kad pengenalan kekal seperti proses pendaftaran sedia ada, kata Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin. Perkara itu pernah dibangkitkan sebelum ini namun tiada perubahan dibuat.
Ada pandangan kata ia tidak wajar diubah (status agama digugurkan) kerana bertentangan (dengan Perlembagaan. Ini kerana ia berkait dengan hak istimewa orang Melayu untuk membezakan antara Melayu dan bukan Melayu. Isu ini juga boleh timbulkan perkara sensitif kerana menyentuh kaum lain dan kena diperhalusi. Sementara itu, saya nyatakan kita kekalkan status pendaftaran seperti asal di mana soal agama dan bangsa dimasukkan,” katanya.
Rabu lalu, seorang senator daripada DAP, Nga Hock Cheh dalam sidang Dewan Negara, dilaporkan berkata antara sebab yang menghalang perpaduan dalam negara berlaku adalah kerana setiap individu diberikan identiti mengikut kaum, bukan identiti nasional. Justeru, beliau mencadangkan agar perkataan agama dalam kad pengenalan digugurkan namun pandangannya itu dikritik ramai pihak.
Muhyiddin yang juga Presiden BERSATU, berkata kajian teliti perlu dilakukan jika sebarang perubahan mahu dilakukan terhadap proses pendaftaran kad pengenalan sedia ada. Buat masa ini, belum ada permohonan rasmi dibuat bagi meminda perkara itu. Namun, ia perlu kajian teliti kerana ia isu sensitif di samping tidak mahu menimbulkan suasana tidak tenang. Lebih penting kita utamakan perkara pokok yang dihadapi negara,” katanya. – BH Online