Input your search keywords and press Enter.

Rakyat Argentina mogok bantah dasar ekonomi presiden

M Update, 01/05/2019 – Ribuan rakyat Argentina mengadakan tunjuk perasaan semalam dalam mogok yang turut menyebabkan penerbangan tergendala, selain membawa kepada penutupan bank dan beberapa perniagaan lain sebagai membantah dasar ekonomi Presiden Mauricio Macri.

“Saya datang ke sini untuk membantah kerana gaji yang tidak mencukupi. Kerajaan harus berundur. Ia tidak berjaya menguruskan masalah ekonomi,” kata pemandu trak berusia 32 tahun, Juan Arrique.

Kesatuan pemandu trak adalah antara kumpulan utama yang menggesa tunjuk perasaan diadakan, menyebabkan pesawat dan bas transit tersadai tanpa beroperasi di terminal masing-masing.

Lalu lintas laut turut tergendala dan premis awam seperti sekolah turut ditutup, selain perkhidmatan awam seperti bank dan sektor perniagaan.

Populariti Macri menjunam sejak beberapa bulan kebelakangan ini, satu isyarat mengecewakan untuk presiden yang bakal berdepan pilihan raya kurang dari tempoh enam bulan walaupun berhasrat untuk memenanginya buat kali kedua.

Dalam usaha mengurangkan defisit negara, kerajaan tahun lalu melancarkan pelan penjimatan mencakupi pemberhentian perkhidmatan ke atas golongan berpendapatan rendah.

Pendekatan terbabit adalah sebagai tukaran kepada pinjaman berjumlah AS$56 bilion (RM231 bilion) dari Dana Kewangan Antarabangsa (IMF) bagi membantu negara Amerika Selatan itu memerangi krisis mata wang dan kenaikan harga.

Inflasi sejak 12 bulan lalu berada sekitar 55 peratus manakala kuasa membeli untuk rakyat biasa turut menjunam.

Kadar pengangguran juga meningkat dan kemiskinan kini memberi kesan kepada 32 peratus populasi serta 41 peratus kanak-kanak manakala pekerja dalam sektor perniagaan turut diberhentikan. – AFP

Leave a Reply