M Update, 07/05/2019 – Pertempuran antara tentera kerajaan Syria dan pemberontak mengorbankan 43 pejuang di barat laut negara itu di mana rejim dan sekutunya Russia meningkatkan pengeboman sejak beberapa hari lalu kata Pemantau Hak Asasi Manusia Syria (SOHR).
Pemberontak juga melepaskan tembakan ke arah pangkalan udara Russia di rantau itu namun dipintas dengan serangan tidak menyebabkan kematian atau kerosakan, kata Kementerian Pertahanan Russia dalam satu kenyataan.
Sebanyak 22 pejuang pro-kerajaan antara yang terbunuh dalam pertempuran sengit di wilayah utara di Hama, kata SOHR semalam manakala 21 anggota bekas cawangan al-Qaeda, Hayat Tahrir al-Sham (HTS) dan sekutunya Parti Islam Turkistan, turut terkorban.
Pertempuran berlaku ketika tentera rejim mara di dua perkampungan dan kawasan bukit strategik rantau itu.
Agensi berita SANA berkata, tentera Syria melancarkan ‘operasi intensif’ menyasar jaringan bekalan dan kawasan di mana kumpulan bersenjata beroperasi di utara Hama dan wilayah berjiran di Idlib.
Terdahulu semalam, lima orang awam terbunuh dalam serangan udara di Idlib dan kawasan berjiran oleh rejim Syria dan sekutunya Russia, kata SOHR.
Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres menggesa pihak berperang supaya melindungi orang awam dan menghormati gencatan senjata.
Guterres menggesa ‘situasi bertenang ketika Ramadan bermula dan mendesak pihak berkenaan mematuhi perjanjian gencatan ditandatangani 17 September 2018.’