M Update, 09/05/2019 – Ketiadaan dana kesihatan di Gaza bermaksud 1,700 penduduk yang ditembak tentera Zionis mungkin terpaksa menjalani amputasi untuk dua tahun akan datang, kata Penyelaras Kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) wilayah Palestin, Jamie McGoldtrick, semalam.
McGoldrick berkata, 29,000 penduduk Palestin cedera dalam bantahan pada masa lalu dan 7,000 daripadanya mengalami kecederaan ditembak, kebanyakannya bahagian bawah kaki.
“Anda ada 1,700 orang yang memerlukan pembedahan serius, rumit supaya mereka berupaya berjalan semula.
“Ini adalah penduduk yang ditembak ketika bantahan dan memerlukan pemulihan serta pembedahan penstrukturan tulang amat serius dan rumit dalam tempoh dua tahun sebelum mereka boleh pulih,” kata McGoldtrick.
Tanpa prosedur itu katanya, semua penduduk yang cedera berisiko memerlukan amputasi.
PBB berusaha mendapatkan AS$20 juta (RM83.09 juta) bagi mengisi jurang dalam perbelanjaan kesihatan.
Ketiadaan pembiayaan untuk Program Makanan Dunia (WFP) dan UNRWA, agensi kemanusiaan PBB yang menyokong penduduk Palestin kehilangan tempat tinggal ketika perang pengasasan Israel pada 1948, juga bermaksud, ada gangguan bekalan makanan untuk sejuta orang.
“Jika itu dihentikan, tiada alternatif buat penduduk membawa makanan dari sumber lain kerana mereka tidak memiliki kuasa membeli,” kata McGoldtrick.
Jurucakap WFP, Herve Verhoosel berkata, kekurangan teruk dana bermaksud pihaknya terpaksa memutuskan bantuan untuk 193,000 penduduk tahun ini di Tebing Barat dan Gaza dengan 27,000 tidak mendapat apa-apa manakala bakinya mendapat hanya AS$8 (RM33.24) sebulan berbanding AS$10 (RM41.55).
Kira-kira dua juta penduduk Palestin tinggal di Gaza, dengan ekonomi terjejas selama bertahun akibat sekatan Israel dan Mesir serta pemotongan bantuan asing terbaharu.
Katanya, sebanyak 120 prosedur amputasi dilakukan sejak tahun lalu, 20 daripadanya kanak-kanak. -Reuters