M Update, 14/5/2019 – Dikala kita semua dalam kegembiraan dan bermewah-mewah menyambut bulan Ramadan dan juga Syawal yang bakal tiba jangan sesekali kita lupa kepada mereka yang kurang bernasib baik.
Kegembiraan terpancar pada wajah 20 kanak-kanak dari pusat jagaan Pertubuhan Badan Kebajikan Anak-anak Yatim Darussalam apabila ‘abang polis’ menemani mereka membeli pakaian raya di Gedung Tekstil Jakel Ipoh.
Kesemua mereka diberi peluang untuk memilih baju raya yang berkenan di hati sambil ditemani pegawai dan anggota daripada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh.
Pihak PDRM sentiasa mahu menyantuni golongan kurang bernasib baik terutama anak-anak yatim agar mereka berasa dihargai menjelang Syawal akan datang.
Walaupun sibuk dengan pelbagai tugasan, mereka tidak pernah lupa untuk membawa anak-anak ini untuk memilih sendiri baju raya yang mereka inginkan mengikut citarasa tersendiri.
Inisiatif ini diharapkan dapat membawa kegembiraan kepada mereka untuk menyambut Aidilfitri sama seperti orang lain tanpa rasa terpinggir. Ini merupakan program pertama IPD Ipoh yang dikendalikan oleh Unit Surau.
Sumbangan ini turut dibantu Jakel Ipoh dalam memberikan tawaran harga istimewa bagi pembelian baju raya berkenaan.
Aktiviti ini diharapkan akan dijadikan sebagai acara tahunan bagi membantu golongan kurang bernasib baik untuk membantu mereka membuat persiapan menyambut Hari Raya Aidilfitri.
Sumber : Sinar Harian