Input your search keywords and press Enter.

Cecair Pembasmi Kuman : Jangan Salah Guna Ayat Al-Quran

M Update, 1/4/2020 – Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al Bakri menegur tindakan segelintir peniaga yang menjual cecair pembasmi kuman yang dibaca ayat ‘Ruqyah’ pada harga tinggi, didakwa untuk menghalang jangkitan COVID-19.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) itu berkata peniaga diminta tidak menyalahgunakan ayat al-Quran seperti itu sehingga menyukarkan masyarakat. Beliau berkata ayat al-Quran itu bagus namun ia tidak sepatutnya ‘dihargakan’.

“Ruqyah baik, tetapi jangan dihargakan (untuk jualan) berkenaan dengan harga yang mahal sehingga menyebabkan kesukaran kepada masyarakat. Cecair pembasmi kuman (hand sanitizer) itu benar-benar memberi kebaikan kepada pengguna dan bukan semata-mata (ayat) Ruqyah.

“Ruqyah paling baik ialah kita berdoa kepada Allah,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas menerima 10,000 penutup hidung dan mulut daripada kerajaan China yang diwakilkan oleh Duta Besar China ke Malaysia, Bai Tian.

Zulkifli berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai ada peniaga yang mengambil kesempatan menjual cecair pembasmi kuman yang dibacakan ayat Ruqyah dan didakwa dapat menghalang penggunanya dijangkiti COVID-19. Sebelum ini, tular di media sosial mengenai jualan cecair pembasmi kuman yang dibacakan ayat Ruqyah serta beberapa zikir lain dijual dengan harga antara RM85 hingga RM135 mengikut saiz botolnya.

Kementerian Kesihatan dalam kenyataannya sebelum ini turut menasihati orang ramai supaya tidak membeli dan menggunakan produk cecair pembasmi kuman yang tidak mendapat kelulusannya.

Kementerian itu dilaporkan berkata, semua produk cecair pembasmi kuman perlu dirujuk dengan kementerian terlebih dahulu, sebelum dipasarkan di Malaysia untuk memastikan ia berkualiti, selamat digunakan selain berkesan. – BH Online

Leave a Reply