M Update, 15/5/2019 – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menjalankan operasi 24 jam bagi memadamkan api di tapak pelupusan sampah yang dikesan terbakar sejak Khamis lalu di Tanjung Kidurong, di sini. Selain anggota JBPM, operasi turut membabitkan kerjasama beberapa agensi lain.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintulu, Mohamad Meramit, berkata keputusan untuk melakukan operasi pemadaman tanpa henti itu dicapai pada mesyuarat tergempar di Pejabat Residen Bahagian Bintulu, semalam.
Operasi pemadaman dijalankan secara bergilir membabitkan anggota bomba dengan bantuan Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA) dan syarikat pengendali pelupusan sampah, Trienekens Sdn Bhd. Dalam operasi ini, pasukan bomba menggunakan dua pancutan air dari tangki jentera Prime Mover,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, semalam.
Namun, Mohamad berkata, operasi memadam kebakaran itu mengalami kesukaran berikutan faktor timbunan sampah begitu banyak sehingga mencecah ketinggian 40 meter membabitkan keluasan satu hektar. Cuaca yang terlalu panas turut menyukarkan operasi pemadaman kerana api mudah marak semula. – BH Online