M Update, 17/5/2019 – Selama 23 tahun beroperasi hanya pada bulan Ramadan sahaja, martabak Pok Lan muncul lagi di Bazar Ramadan Wakaf Tengah berdekatan Kolej Kesihatan Batu Rakit di sini.
Dinanti-nantikan oleh pelanggan tetapnya, pengalaman lebih dua dekad itu banyak mengajar Pok Lan atau nama sebenarnya Mohd Razlan Mohd Yusof, 67, untuk terus kekal sehingga kini. Menurut pesara tentera itu, operasi martabak yang diwarisi keluarganya itu diteruskan sehingga kini sebagai tanda terima kasih kerana sokongan berterusan pelanggan tetap mereka.
Mohd Razlan mula mengusahakan jualan martabak di bazar Ramadan berkenaan sejak 1996 dan kini dibantu dua anak, Mohd Kaharuddin, 34, dan Mohd Sarifuddin, 25, serta tiga lagi pembantu.
“Hari biasa memang kami tak niaga. Martabak Pok Lan hanya boleh didapati masa bulan puasa saja dan di bazar Ramadan ini,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Gong Pak Jin, hari ini.
Katanya, menu yang menjadi pilihan serta kegemaran orang ramai adalah martabak ayam dan daging istimewa yang beratnya hampir satu kilogram dan dipenuhi inti ayam serta daging. Pengunjung yang datang ke Bazar Ramadan Wakaf Tengah sudah pastinya terkilan jika tidak menikmati martabak hasil tangan Pok Lan.
Katanya, martabak dijual dengan beberapa harga seperti martabak istimewanya berharga RM10 sebiji manakala martabak ayam biasa dan martabak daging biasa hanya dijual pada harga RM5 sebiji. Kelainan martabak kami ialah adunan ayam atau daging bersama-sama rempah, telur dan bawang diletakkan dalam setiap lapisan.
Pelanggan juga boleh melihat kerja-kerja menggoreng martabak dilakukan di bazar Ramadan ini yang pastinya menimbulkan aroma tersendiri kepada peminat makanan ini,” katanya. Bagi mengekalkan kualiti murtabaknya, beliau akan memastikan segala bahan yang disediakan mencukupi begitu juga dengan harga martabak yang dijual masih kekal seperti dahulu.
Sinar Harian turut membuat tinjauan di bazar Ramadan berkenaan semalam dan mendapati orang ramai berbaris menunggu pesanan sebaik gerai martabak Pok Lan dibuka jam 3 petang. – SH Online