M Update, 21/05/2019 – Joko Widodo atau lebih dikenali sebagai Jokowi dipilih sebagai Presiden Indonesia untuk penggal kedua selepas menewaskan pencabarnya, jeneral bersara Prabowo Subianto dengan margin 55.5 hingga 44.5 peratus, kata suruhanjaya pilihan raya.
“Keputusan ini diumumkan pada 21 Mei dan berkuat kuasa serta merta,” kata pengerusi suruhanjaya, Arief Budiman dalam satu kenyataan secara langsung yang disiarkan oleh semua media utama.
Suruhanjaya itu dijangka mengumumkan keputusan rasmi pilihan raya 17 April itu esok.
Walaupun diselubungi kebimbangan terhadap kemungkinan berlakunya kekacauan sebagai reaksi terhadap kiraan akhir, keputusan berkenaan dikeluarkan lebih awal tanpa sebarang notis.
Terdahulu Jokowi diramalkan memenangi pilihan raya berdasarkan keputusan tidak rasmi.
Pencabarnya, Prabowo sebelum ini berikrar untuk mencabar sebarang keputusan yang memihak kepada Jokowi dengan mendakwa wujud penipuan dalam kiraan undi dan memberi amaran, perkara itu akan mencetuskan rusuhan jalanan.
Sejumlah 32,000 pegawai keselamatan sudah dikerahkan ke seluruh Jakarta termasuk di hadapan bangunan Suruhanjaya Pilihan Raya Umum yang turut dihadang dengan kawat berduri. – AFP