M Update, 30/5/2019 – MAMA, jangan nangis. Abang Am kuat, nanti tangan dan kaki abang Am Allah ambil simpan dekat syurga,” begitu kata Muhammad Rifqi Amzar Faizo, 6.
Anak kedua daripada empat beradik yang mesra disapa abang Am itu melontarkan kata-kata semangat berkenaan kepada ibunya, Roziayu Othman, 37, yang kesedihan sehari sebelum anggota badannya dipotong 2 November lalu. Tangan kanan dan kedua-dua kaki kanak-kanak itu dipotong kerana mengalami gejala kehitaman seolah-olah mereput atau gangren.
Gejala itu berlaku akibat komplikasi dan kesan ubat tidak serasi selepas Muhammad Rifqi Amzar menjalani pembedahan membetulkan saluran darah jantungnya, September lalu. Kanak-kanak itu seakan-akan pasrah dan memahami dirinya kehilangan kaki dan tangannya dan kini selepas enam bulan berlalu, dia boleh menyesuaikan diri.
Menurut Roziayu, sebagai ibu pada mulanya dia akui sedih bagaimana anak sekecil itu harus menjalani hidup tanpa kaki dan tangan kanannya. Apa yang saya difahamkan, tangan dan kaki anak saya perlu dipotong kerana ubat diberikan bagi menormalkan kembali masalah komplikasi kesihatannya selepas pembedahan jantung itu tidak serasi dengan badannya. Jalan terbaik memotong tangan kanan sehingga paras bawah siku dan kedua-dua kaki separas lutut. Biarpun sedih, kami akur demi menyelamatkannya,” katanya yang menetap di Taman Bukit Chamang Bentong, Pahang.
Katanya, ketabahan Muhammad Rifqi Amzar menyuntik semangat mereka sekeluarga untuk turut menerima takdir menimpa kanak-kanak itu. Dalam rumah dia cuma mengengsot dan guna papan luncur untuk bergerak. Apa yang mengagumkan kami, dia tidak pernah menangis atau menyesali apa yang terjadi kepadanya. Cuma dia hanya cakap rindu hendak main basikal dan lego mainan kegemarannya saja,” katanya.
Jururawat yang bertugas di hospital kerajaan itu berkata, melihat kesukaran anaknya, dia menghubungi pereka tangan elektronik cetakan tiga dimensi (3D), Sujana Rejab. Sebelum ini saya sedih tengok keadaan anak saya. Tetapi dengan adanya tangan ini saya bersyukur tengok dia sudah boleh bermain dan memegang adiknya. Anak saya juga seronok sampaikan tidur pun dengan tangan barunya. Paling bermakna, Amzar kata dia gembira raya ini dia dapat bersalam dengan orang guna tangan kanan bukan tangan kiri lagi,” katanya. – HM Online