M Update, 11/6/2019 – Kementerian Kesihatan masih menunggu keputusan ujian untuk mengetahui punca penyakit yang menyerang masyarakat Orang Asli suku Batek di Kampung Kuala Koh, Gua Musang yang setakat ini menyebabkan 14 kematian.
Menterinya, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, berkata setakat ini kementerian mendapati penyakit yang dihidapi oleh mangsa bukannya berpunca daripada tuberculosis (tibi) dan leptospirosis.
Keputusan ujian tibi dan leptospirosis adalah negatif. Saya yakin jawapan kepada persoalan ini dapat diselesaikan segera.
Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P Waytha Moorthy memaklumkan 14 kematian Orang Asli dilaporkan ketua masyarakat di situ bermula 2 Mei hingga 7 Jun 2019.
Sehingga kini, masih terdapat 47 mangsa menerima rawatan, masing-masing 37 orang di Hospital Gua Musang, Hospital Kuala Krai (12), termasuk seorang kanak kanak berusia tiga tahun yang masih kritikal dan menerima rawatan di Hospital Raja Perempuan Zainab 2.
Petugas kesihatan dari kementerian mula masuk ke perkampungan Orang Asli di Kuala Koh setiap minggu, sejak April lalu, bagi merungkai polemik jangkitan penyakit yang didakwa menular di kawasan terbabit.
Sepanjang mengendalikan pemeriksaan menyeluruh, petugas Kementerian Kesihatan berdepan kesulitan kerana cara hidup Orang Asli yang berpindah randah apabila wujud ahli keluarga mereka meninggal disebabkan pelbagai faktor.
Sumber : BH