Input your search keywords and press Enter.

KISAH 10 TERAKHIR RAMADAN, PEDOMAN KEPADA JEMAAH HAJI & UMRAH

Kota Mekkah – Baru-baru ini saya berpeluang merasai 10 malam terakhir bulan Ramadan di Mekkah dan Madinah. Saya berharap perkongsian ini dapat memberi manafaat kepada yang belum lagi berkesempatan menunaikan umrah, dan rencana ini bolehlah menjadi sedikit sebanyak panduan kepada jemaah Haji yang akan menunaikan ibadah Haji pada bulan hadapan.

Sebelum saya berkongsi pengalaman itu, elok saya cerita sedikit kronologi pembesaran Masjidil Haram yang kebetulan saya dapat melihat perkembangannya beberapa tahun. Ketika saya menunaikan ibadah Haji pada tahun 2012, Kerajaan Arab Saudi sedang giat memperbesarkan Masjidil Haram. Ketika itu, boleh dilihat dengan mata, jentera berat seperti kren berada di kiri-kanan Masjidil Haram. Setiap kali kita berjalan dari hotel ke masjid, kita akan menyaksikan pekerja-pekerja asing bertungkus-lumus siang dan malam. Pada masa itu, kita dinasihatkan memakai mask kerana habuk berterbangan di mana-mana.

Pada tahun 2015, ketika saya pulang dari Amerika Syarikat, saya singgah di Masjidil Haram dan pembesarannya semakin hampir siap di mana kerja-kerja menukar binaan Turki di hadapan Kaaba sedang dilakukan. Begitu juga, mataf sementara dibina untuk memudahkan jemaah melakukan tawaf. Kali terakhir saya ke Madinah pada tahun 2017 kerana pertemuan dengan Imam Masjid Madinah, ketia itu projek pembesaran Masjidil Haram semakin hampir siap.

Akhirnya baru-baru ini, saya dapat melihat bangunan baharu Masjidil Haram yang sangat-sangat besar. Persoalannya, adakah pembesaran itu mampu menempatkan jutaan Jemaah haji dan umrah? Berdasarkan pengalaman menunakan umrah pada bulan Ramadan baru-baru ini, jawapannya tidak. Ketika 10 Ramadan terakhir, kita akan mengalami kesukaran untuk masuk ke dalam masjid kerana pasukan keselamatan polis dan tentera akan menutup jalan masuk ke dalam masjid. Maka ramailah yang solat di luar masjid, malahan di jalan raya, lobi-lobi hotel dan di mana-mana sahaja asalkan ada ruang. Oleh kerana suhu pada siang hari mencecah 45 darjah Celcius, maka solat Zohor dan Asar di atas jalanraya memerlukan kesabaran yang tinggi dek cahaya matahari yang sangat terik.

Penutupan jalan masuk ke dalam Masjidil Haram memang tidak dapat dielakkan dan saya juga bersetuju ianya perlu dilakukan. Jika tidak, maka ramai jemaah di dalam masjid tidak dapat solat berjemaah kerana tempat sangat penuh dan sesak. Mereka mundar-mandir mencari tempat tetapi tidak ada ruang lagi, hatta di kiri kanan tong-tong air zam-zam, di anak-anak tangga, laluan pejalan kaki, bumbung atas Masjidil Haram semuanya penuh dan sesak. Saya dapat menyaksikan, ketika solat sunat taraweh dan qiam, ramailah yang tidak dapat solat kerana mereka masih mundar-mandir mencari ruang dan tempat. Maka nasihat saya kepada bakal jemaah Haji bulan Julai ini, setiapkali ke Masjid bawalah tikar sembahyang, kerana jika jalan masuk ke dalam masjid ditutup, kita masih boleh bersolat di luar masjid hatta di atas jalan raya dengan tikar sembayang. Kedua, sentiasalah membawa botol air semburan, kerana ketika di dalam kecemasan ianya boleh digunakan untuk mengambil wudu dan membasahi wajah yang kepanasan. Namun begitu, jika mahu bersolat di dalam masjid, datanglah seawal 1 atau 2 jam, janganlah turun dari hotel ketika hampir waktu azan akan dikumandangkan. Kita perlu berdisiplin ketika beribadah.

Apabila kita duduk jauh sedikit daripada Masjidil Haram ataupun Masjid Nabi di Madinah, janganlah mengeluh kerana itulah yang terbaik berjaya diperolehi oleh syarikat anda. Ketahuilah, ketika musim Haji dan Ramadan, harga penginapan di tanah suci naik berlipat ganda, ianya sukar dikawal. Maka, bersyukurlah kerana diberi peluang Allah SWT berada di tanah suci. Ketahuilah berapa ramai yang merayu setiap tahun walaupun mereka sudah mempunyai wang yang mencukupi, namun masih tidak dapat menjejaki kaki mereka ke Mekkah dan Madinah. Maka, janganlah mengeluh ketika di tanah suci. Kadangkala kita ditempatkan jauh sedikit, barangkali Allah SWT mahu kita melihat di sepanjang jalan betapa ramai lagi yang miskin dan susah tetapi mereka tetap bertawakkal kepada Allah SWT. Begitu jua, supaya kita sentiasa mendidik diri kita dengan kesyukuran dan keredhaan kepada Allah SWT ketika susah dan senang.

Ketika musim panas terik mencecah 45 darjah celcius, mungkin ketika musim Haji nanti lebih terik lagi, beberapa perkara kelihatan kecil mungkin boleh dipertimbangkan jua oleh bakal Jemaah haji. Pertama, membawa payung kecil. Saya dapati ramai jemaah yang tidak tahan panas tidak pergi ke Masjid sebaliknya solat di lobi-lobi hotel sahaja, atau pun di musola-musola kecil yang banyak di celah-celah hotel. Kedua, penggunaan kasut yang sesuai. Jika jemaah telah menyempurnakan ibadah umrah dan haji, saya dapati penggunaan kasut yang lembut seperti kasut kanvas dan stoking lebih selesa. Ini kerana, semasa musim panas terik, kulit kaki boleh melecet kerana penggunaan selipar yang tidak sesuai dengan keadaan cuaca panas. Kepada yang tidak mempunyai masalah kulit mengelupas dan sudah biasa dengan cuaca panas, bolehlah seperti biasa apatah lagi jika duduk di hotel yang sangat dekat berhadapan dengan masjid.

Sekianlah sedikit perkongsian, semoga ianya memberi sedikit manafaat. Malaysia adalah negara yang terkenal di kalangan jemaah Haji dan umrah di tanah suci, maka sedikit-sebanyak ianya banyak memberikan kemudahan kepada para jemaah kita ketika berurusan dan membeli-belah di tanah suci. Oleh itu, marilah kita bersyukur kerana mempunyai negara yang aman dan damai serta pemimpin yang disegani lagi dihormati di seluruh dunia. Terimakasih juga kepada http://inqaztravel.com  yang menguruskan ibadah umrah saya kali ini dengan penuh dedikasi dan paling penting berpengalaman.

Dr. Al-Azharri Siddiq Kamunri,

Mekkah Al-Mukarramah,

1 Syawal 1440/ 5 Jun 2019.

Leave a Reply