Input your search keywords and press Enter.

CINTA RAKYAT CINTA NEGARA

Politik dan Kerajaan adalah dua elemen yang saling berkait-rapat dalam memacu negara ke arah lebih baik. Sejarah menunjukkan di mana-mana negara pun seringkali politik dan kerajaan menjadi perdebatan hangat di kalangan rakyat. Namun begitu, beberapa peristiwa yang berlaku di dalam negara telah mengakibatkan rakyat terlupa keutamaan sebenar dalam hidup bernegara antaranya keselamatan negara dan perpaduan antara kaum.

Francis Fukuyama menyatakan, sesiapa sahaja rakyat daripada apa jua status sosial dan ekonomi, mempunyai tanggungjawab yang sama untuk memastikan keamanan dan keselamatan negara. Ianya bukan semata-mata tugas Kerajaan dan pasukan keselamatan sahaja. Maka marilah kita menanam cinta kepada negara.

Selepas setahun Pakatan Harapan menjadi kerajaan, beberapa perubahan dalam bidang politik, sosial dan ekonomi telah dilakukan atas nama Malaysia Baharu.

Antara definisi mudah politik ialah adanya pemerintahan dalam sesebuah negara, kewarganegaraan dan wilayah. Aristoteles melihat politik sebagai hakikat kehidupan sosial dan interaksi antara dua pihak. Aristoteles melihat politik sebagai kecenderungan semulajadi yang tidak dapat dihindari manusia. Maka politik itu tidak dapat dipisahkan dengan Kerajaan, Negara, kuasa, polisi, pembuat keputusan dan pembahagian yang adil. Yang menjadikan politik itu baik dan sihat adalah manusia begitulah sebaliknya. Mari kita melihat indikator paling mudah.

Dalam konteks negara kita, adakah politik dan kerajaan kita tidak aman? Jawapannya ialah anak-anak bersekolah dengan aman, pasaraya beroperasi dengan baik, ATM bank beroperasi setiap masa, projek pembangunan berjalan tanpa henti, lapangan terbang penuh dengan penumpang dalam dan luar negara dan sebagainya

Kedua, bagaimanakah pula keadaan ekonomi negara kita? Jawapannya boleh dilihat di sekeliling kita, masih ramai makan di kedai mamak 24 jam, satu rumah mempunyai dua atau tiga buah kenderaan, setiap orang sekurang-kurangnya memiliki satu atau dua telefon bimbit, perkhidmatan panda food masih berjalan, pasar malam sentiasa penuh, stesen minyak penuh dengan kenderaan, syarikat telekomunikasi masih mengeluarkan jenama baharu telefon bimbit dan masih ada yang membeli durian yang dijual mahal di tepi jalan.

Ketiga, dari sudut sosial adakah masyarakat Malaysia sedang bersengketa? Di taman-taman awam masyarakat berbilang kaum masih berkongsi padang permainan, pasaraya masih pelbagai warna kulit, pelajar-pelajar Cina dan India masih ramai di sekolah kebangsaan, di IPTA masih ramai pelbagai bangsa, maknanya sistem sosial di negara kita berjalan dengan baik.

Namun begitu, pelbagai isu yang timbul dalam politik negara dalam aspek sosiopolitik dan ekonomi telah memberi kesan kepada Kerajaan dan negara. Kerajaan hari ini berusaha mengasingkan aktiviti politik dalam Kerajaan seperti tidak menggunakan kenderaan rasmi Kerajaan dalam majlis parti-parti politik, kakitangan Kerajaan tidak diibenarkan memegang jawatan dalam parti politik tanpa kebenaran, dan pelbagai lagi peraturan-peraturan sedia ada yang dikaji dan diperketatkan semula. Ianya bukan suatu perkara yang mudah melainkan memerlukan disiplin, kesungguhan dan kejujuran yang tinggi.

Kematangan rakyat Malaysia mendepani cabaran yang semakin kompeks telah memberi sumbangan kepada keamanan negara. Seperti juga di negara-negara lain yang sedang membangun, kekurangan dan kelemahan ada di mana-mana. Namun, ianya boleh diatasi dengan hanya memiliki sikap positif dan patriotik yang mendalam kepada negara tercinta.

Politik berubah setiap hari, namun negara kekal berdaulat. Kerajaan berubah namun kesatuan negara kekal, tidak berpecah dan tidak berpisah. Seperti kata YAB Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad, rakyat boleh berbeza pandangan politik, tetapi mempunyai kasih sayang yang sama ke atas negara.

Kesimpulannya, negara kita wujud dengan nilai dan budaya yang tersendiri, maka budaya luar tidak semestinya sesuai dengan budaya ketimuran kita. Demokrasi barat tidak semestinya sesuai dengan demokrasi di negara kita, kerana kita mempunyai tradisi, sejarah dan budaya yang berbeza.

Oleh itu, saya mencadangkan Kerajaan melipatgandakan program Cinta Rakyat Cinta Negara.

Leave a Reply