M Update, 01/07/2019 – Letusan gunung berapi di Papua New Guinea (PNG) memaksa 15,000 penduduk kampung di timur laut negara itu berpindah, menurut beberapa agensi bantuan, semalam.
Gunung Ulawun di pulau New Britain, timur laut PNG meletus tiba-tiba, Rabu lalu, sehingga memuntahkan debu setinggi 18 kilometer ke udara.
Sementara itu, gunung berhampiran Manam turut meletus, Jumaat lalu, dengan memuntahkan aliran piroklas (serpihan batuan dan gas gunung berapi).
Tiada laporan kematian atau kecederaan, namun letusan itu memusnahkan banyak rumah, ladang dan telaga yang menyebabkan penduduk terputus bekalan makanan dan air, sementara kepulan asap menjejaskan penerbangan domestik.
Persekutuan Palang Merah dan Bulan Sabit Antarabangsa (IFRC) memaklumkan, 3,775 penduduk yang tinggal berhampiran gunung Manam dan 11,047 di Ulawun dipindahkan ke beberapa pusat pemindahan sementara hari ini.
Difahamkan, debu gunung berapi dengan banyak partikel halus seperti kaca boleh menyebabkan kerosakan kekal pada paru-paru sehingga membawa kepada penyakit atau kematian. – Reuters