M Update, 01/07/2019 – Mimpi seorang bapa membawa kepada penemuan mayat anak perempuannya yang disahkan meninggal dunia enam bulan lalu.
Boonlong Boonplun, 71, memberitahu polis beliau bermimpi mengenai anak perempuan, Thiphaphat Phaksuk dan isterinya pada 15 Jun lalu.
Keesokan hari, beliau memutuskan untuk melawat Thiphaphat, 46, yang tinggal kira-kira 20 kilometer dari rumahnya.
Apabila sampai, beliau mendapati rumah itu seolah-olah sudah lama ditinggalkan kerana rumput yang sudah panjang.
Selepas terhidu bau pelik datang dari rumah itu, Boonlong meminta pegawai keselamatan memecah masuk.
Mayat Thiphaphat ditemui sudah reput di pintu bilik.
Jiran memberitahu polis mereka menyangka Thiphaphat sudah meninggalkan rumah itu kerana bekalan elektrik dan air sudah dipotong kerana tidak membayar bil.
Polis tidak mengesyaki sebarang perbuatan khianat.
Thiphaphat tinggal seorang diri di rumahnya Pathum Thani selepas bercerai. — Agensi