M Update, 02/07/2019 – Seorang lelaki dipercayai telah menikahi adik bongsunya di daerah Bulukumba, Sulawesi Selatan, Indonesia beberapa hari lalu.
Sebelum berkahwin, Ansar, 32, didakwa menjalani hubungan intim dengan adiknya itu sehingga menyebabkan wanita itu hamil empat bulan.
Sebaik mengetahui perlakuan sumbang mahram itu, isteri pertama Ansar yang hanya dikenali sebagai HE, 28, mengadakan laporan polis meminta pihak berwajib melakukan siasatan dan mengambil tindakan sewajarnya.
HE melaporkan kes pernikahan kedua Ansar selepas memperoleh dokumen yang sah daripada ibu dan ayah mertuanya.AM dan adiknya dilaporkan bernikah di sebuah lokasi di Kalimantan Timur.
Berdasarkan laporan HE kepada polis, kedua beradik itu telah berzina sejak beberapa bulan lalu di luar pengetahuannya.
Kata HE, selama ini dia langsung tidak mencurigai tindak-tanduk suaminya terhadap adik iparnya itu.
Bagaimanapun, HE begitu terkejut selepas menonton video pernikahan suaminya dengan adik kandung sendiri selain surat pengesahan daripada mertuanya.
Kerana kecewa dengan tindakan itu juga, HE memberitahu, dia akan menuntut perceraian daripada suaminya.
“Setelah selesai proses undang-undang (berhubung kes suaminya berkahwin dengan adik sendiri) saya akan meminta cerai,” kata HE seperti dilaporkan media Indonesia.
Dalam masa sama, salah seorang ahli keluarga Ansar yang hanya dikenali sebagai RS juga berharap tindakan undang-undang akan ditegakkan dalam kes itu.
Kata RS, dia tidak pasti bagaimana mahu berhadapan dengan kedua-dua adiknya itu.
“Kami keseluruhan tujuh orang bersaudara. Dia (Ansar) anak ketiga bernikah dengan adik bongsu.
“Kami berharap mereka dihukum, seandainya masih berlaku hukum adat maka saya juga meminta itu (hukum adat),” tegasnya.