M Update, 12/07/2019 – Seorang lelaki berkulit putih yang membunuh remaja kulit hitam di Arizona hanya kerana berasa terancam dengan lagu rap mangsa didakwa dengan kesalahan membunuh darjah pertama, kata pihak berkuasa semalam.
Michael Adams mengelar leher Elijah Al Amin dalam satu serangan yang dilakukan secara tiba-tiba di sebuah kedai serbaneka di pekan Peoria, di luar Phoenix pada 4 Julai lalu.
Dia baru dua hari dibebaskan dari penjara atas satu lagi kesalahan serangan ketika kejadian.
Menurut dokumen mahkamah, Adams, 27 memberitahu detektif bahawa dia sebelum serangan berkenaan melihat mangsa sedang mendengar lagu rap di tempat meletak kenderaan dan berasa terancam.
“Adam menjelaskan bahawa muzik rap menyebabkan dia berasa tidak selamat kerana pernah diserang oleh individu yang mendengar lagu rap,” kata dokumen itu.
Dalam satu sidang media penuh emosi semalam, Peguam Daerah Maricopa, Bill Montgomery menggambarkan pembunuhan berkenaan sebagai amat kejam dan mangsa tidak melakukan sebarang kesalahan yang memungkinkan beliau dibunuh.
“Apa yang menyebabkan insiden ini begitu tragik adalah kita memiliki seorang remaja yang sama sekali tidak melakukan apa-apa.
“Beliau hanya berada di situ untuk membeli barang,” katanya sambil cuba menahan tangisan.
Peguam Adams pula memberitahu hakim bahawa tertuduh mengalami masalah mental dan memerlukan bantuan perubatan berbanding ditempatkan di dalam penjara. – AFP