Input your search keywords and press Enter.

Malaysia & Singapura Perkukuh Kerjasama Pengangkutan

Kerjasama pengangkutan antara Singapura dan Malaysia diperkukuhkan lagi sejak minggu lalu di tengah pandemik COVID-19 apabila Perjanjian Grantor Laluan Sistem Transit Rapid (RTS) Johor Bahru-Singapura dimuktamadkan pada Rabu lalu.

Perjanjian itu menetapkan tanggungjawab Grantor dalam melaksanakan peranan dan tanggungjawabnya berkaitan Perjanjian Konsesi yang dimuktamadkan pada 30 Julai 2020, apabila Projek Laluan RTS disambung semula.

Grantor adalah Pihak Berkuasa Pengangkutan Darat Singapura dan Kementerian Pengangkutan Malaysia iaitu dua pihak berkuasa konsesi bagi kedua-dua kerajaan.

Selain itu, perjalanan antara kedua-dua negara juga mendapat rangsangan daripada pelancaran Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin (VTL) oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan rakan sejawatannya dari Singapura, Lee Hsien Loong di Woodlands Checkpoint, semalam.

Dengan permulaan VTL bagi perjalanan menerusi jalan darat serta udara antara Malaysia dan Singapura bagi menghidupkan kembali hubungan budaya dan ekonomi yang lama terjalin merentasi Tambak.

Kementerian Pengangkutan akan terus bekerjasama dengan Singapura untuk meneruskan momentum bagi menambah baik hubungan dan kerjasama pengangkutan.

Laluan RTS adalah perkhidmatan kereta api rentas sempadan antara stesen Singapura di Woodlands North dan stesen Malaysia di Bukit Chagar, Johor Bahru.

Dengan kapasiti besar sehingga 10,000 penumpang setiap jam bagi setiap arah dan masa perjalanan kira-kira lima minit antara kedua-dua stesen, Laluan RTS akan menyediakan perjalanan mudah dan selesa antara Singapura dan Johor Bahru, apabila ia memulakan perkhidmatan penumpang pada akhir 2026.

Kemajuan dalam projek Laluan RTS dan penyambungan semula perjalanan udara serta darat antara kedua-dua negara adalah kunci bagi memulihkan hubungan dan merancakkan kembali ekonomi.

Sumber : Bernama