M Update, 24/7/2019 – Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dijangka memperoleh 18 kapal pemintas atau Fast Interceptor Craft (FIC) dan tiga helikopter operasi maritim masing-masing bernilai kira-kira RM220 juta.
Panglima TLDM, Laksamana Datuk Mohd Reza Mohd Sany, berkata pihaknya akan menerima aset baharu itu secara berperingkat. Ketika ini, katanya, pihaknya dalam proses menandatangani kontrak dengan pihak berkaitan untuk memastikan aset berkenaan dapat diperoleh secepat mungkin. Untuk memastikan proses latihan dan penugasan berjalan lancar, keadaan aset perlu berada di tahap optimum.
Di mana ada keperluan kita cuba penuhi, namun ia juga bergantung kepada keadaan semasa kewangan negara. Dalam hal ini, kita dijangka memperoleh aset terbabit, sebagai contoh FIC akan bantu TLDM memperkukuh tahap sekuriti di kawasan perairan di Malaysia.
FIC juga dapat digunakan di kawasan air cetek yang mana ia tidak boleh dilalui kapal atau bot biasa. Helikopter itu pula berperanan sebagai kenderaan utiliti yang boleh mengangkut anggota Pasukan Khas Laut (PASKAL) ke kawasan operasi,” katanya pada sidang media di Wisma Pertahanan, di sini, hari ini. Mohd Reza berkata, dua kapal jenis misi persisir (LMS) yang dibina di China dijangka siap pada tahun depan.
LMS juga antara penambahan aset lain TLDM. Ia akan ditempatkan khas di Kota Kinabalu, Sabah untuk mengawal kawasan perairan di sana,” katanya. Dalam perkembangan lain, beliau menzahirkan rasa penghargaan kepada anggotanya yang bekerja lebih 260 hari setahun bagi memastikan negara terus kekal aman. Mereka pulang jumpa keluarga sehari, selepas itu kembali bertugas dan belayar berminggu-minggu. Anggota korbankan masa bersama keluarga demi tugas untuk negara tercinta,” katanya. – BH Online