M Update, 2/8/2019 – Kerja pembaikan paip pecah di Kilometer 6.6 Lebuh Raya Persekutuan menghala ke ibu negara berhampiran Kompleks Kolam Air Pantai, dijangka siap petang ini.
Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) dalam satu kenyataan, semalam, berkata pihaknya sudah mengambil segala usaha bagi mempercepatkan kerja pembaikan. Kerja pembaikan paip pecah di Kilometer 6.6 Lebuhraya Persekutuan masih giat dijalankan.
Susulan insiden ini, kerja kecemasan pembaikan perlu dilaksanakan dan pihak kami sudah memohon kepada pihak lebuh raya SPRINT dan mendapat kelulusan bagi melaksanakan kerja pembaikan dalam tempoh 24 jam serta penutupan sementara lorong tengah dan kanan dari arah Shah Alam ke Kuala Lumpur dan lorong kanan arah Kuala Lumpur ke Shah Alam.
Segala usaha diambil bagi mempercepatkan kerja pembaikan yang disasarkan siap petang ini (2 Ogos),” kata kenyataan itu. Menurut kenyataan itu lagi, pengguna boleh merujuk aplikasi telefon bimbit Air Selangor di Google Play atau Appstore untuk maklumat dan status terkini kerja pembaikan.
“Pihak kami memohon maaf atas segala kesulitan,” katanya.
Akhbar melaporkan semalam dua lorong paling kanan di Kilometer 6.6 Lebuh Raya Persekutuan menghala ke ibu negara berhampiran Kompleks Kolam Air Pantai, terpaksa ditutup berikutan insiden paip pecah di laluan itu sejak semalam. Kerja pengorekan turut mewujudkan sebuah lubang besar di laluan paling kanan lebuh raya itu.