M Update, 20/8/2019 – Kumpulan pertama membabitkan seramai 479 jemaah haji Malaysia musim 1440H/2019M selamat tiba Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini pada jam 3.30 petang semalam.
Ketibaan mereka yang turut disertai Pengerusi Lembaga Tabung Haji (TH), Tan Sri Md Nor Md Yusof disambut Ketua Pegawai Strategi dan Ketua Kakitangan TH, Hizamuddin Jamalluddin. Sementara itu, jemaah haji dari Johor Bahru, Nur Diana Mohamed, 30, ketika ditemui berkata pengalaman pertama kali berdepan kejadian ribut pasir antara cabaran dan dugaan yang tidak dapat dilupakan sepanjang menjalani ibadah haji.
Selepas satu jam setengah melakukan wukuf di Arafah, berlaku kejadian ribut pasir, tetapi keadaan jemaah ketika itu tenang dan kami terus meneruskan ibadah kami dengan berdoa dan sebagainya. Selepas itu hujan lebat pula melanda bumi Arafah, bagaimanapun semuanya selamat dan tiada kejadian tidak diingini berlaku kepada rakyat Malaysia,” katanya yang mengerjakan haji bersama suami, Masrudi Muhammad dan ibunya, Selamah Osman, 65.
Sementara itu, Masrudi, 31, berkata panggilan haji untuknya dianggap ‘panggilan teristimewa’. Saya mendaftar sebagai mahram kepada isteri (Nur Diana) disebabkan bapa mentua saya yang sepatutnya mendapat panggilan haji terpaksa menolak tawaran mengerjakan haji dari TH kerana perlu menjalani dialisis. Saya baru mendaftar tahun lalu dengan TH, debaran untuk mengerjakan haji bukan sedikit tambahan lagi tidak pernah mengerjakan umrah, tetapi berkat dorongan dan sokongan isteri saya berjaya melengkapkan ibadah saya,” katanya.
Dalam pada itu, jemaah haji dari Pasir Mas, Kelantan, Amir Abdul Rahim, 61, berkata perubahan cuaca mendadak berbanding Malaysia iaitu 48 darjah celsius selain keadaan berdebu ketika berada di Tanah Suci antara dugaan buat jemaah sehingga ramai yang batuk dan demam. Tetapi Alhamdulillah, kami dapat melengkapkan ibadah haji kami. Batuk atau demam adalah perkara biasa ketika berada di sana,” katanya yang mengerjakan haji bersama isteri, Roskhasiah Abdul Rahim, 52.
Beliau yang turut menceritakan mengenai pengalaman berdepan kejadian hujan lebat ketika wujuf di Arafah berkata ketika kejadian keadaan jemaah Malaysia sangat teratur dan tenang. Memang ada kebocoran sedikit pada khemah, tetapi TH mengendalikannya dengan sangat baik. Pengurusan dan operasi TH yang sangat teratur amat membantu jemaah haji,” katanya.
Penerbangan balik kumpulan terakhir jemaah haji Malaysia dijangka tiba di KLIA pada Jumaat 13 September jam 3 pagi (waktu Malaysia). Sebanyak 69 penerbangan akan terbabit dalam operasi membawa pulang jemaah yang mana musim haji tahun ini menyaksikan 30,200 jemaah haji Malaysia mengerjakan Rukun Islam kelima itu dibantu 640 petugas TH. – BH Online