M Update, 27/8/2019 – Mahkamah Koroner membenarkan permohonan komital yang difailkan bapa anggota bomba, Mohd Kassim Abdul Hamid, terhadap Peguam Negara, Tommy Thomas berhubung punca kematian anaknya, Muhammad Adib.
Koroner Rofiah Mohamad ketika membaca keputusannya berkata, selepas meneliti semua dokumen dan afidavit yang dikemukakan serta hujahan kedua-dua pihak, mahkamah mendapati wujudnya prima facie atas imbangan kebarangkalian.
Katanya, kes membabitkan Muhammad Adib adalah kes berprofil tinggi dan kepentingan awam serta semua keterangan dalam prosiding direkodkan. Dalam afidavit yang dikemukakan Pegawai Pengendali Hamdan Hamzah pada 3 April lalu, ia menjadi rentetan hingga ada gesaan supaya inkues ini digantikan dengan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI).
“Ini menimbulkan persepsi terhadap inkues yang dijalankan oleh saya atas arahan peguam negara sendiri untuk mengetahui punca kematian Muhammad Adib. Ia meletakkan seolah-olah inkues ini sebagai satu permainan wayang. Integriti dan ketelusan dipertikaikan,” katanya.
Rofiah menetapkan 23 September ini sebagai pendengaran dan pengurusan kes. Pada 16 Julai lalu, Mohd Kassim, 65, memfailkan permohonan perintah komital kepada Tommy kerana menghina mahkamah berkaitan proses inkuiri kematian anaknya. Permohonan sebelah pihak itu dibuat melalui Tetuan Mohd Zubir Embong & Associate di Pejabat Pendaftar Mahkamah Koroner. – BH Online