Input your search keywords and press Enter.

Pemeteraian DTA Kemuncak Pertemuan Dr Mahathir, Hun Sen

M Update, 3/9/2019 – Tun Dr Mahathir Mohamad diberikan sambutan negara di Peace Palace, di sini, pagi ini, sempena lawatan rasmi beliau di Kemboja.

Ketibaan Perdana Menteri bersama isteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali, disambut rakan sejawatnya, Hun Sen dan isteri, Bun Rany, sebelum lagu kebangsaan kedua-dua negara dimainkan.

Dr Mahathir kemudian memeriksa pasukan kawalan kehormatan dari Angkatan Tentera Kemboja (CAF) dengan diiringi Hun Sen sebelum dua pemimpin itu mengadakan perbincangan dua hala, khusus dalam memperkukuhkan hubungan Malaysia-Kemboja. Pertemuan itu juga penting bagi meneroka lebih banyak peluang perniagaan dan pelaburan antara kedua-dua negara, selain membincangkan beberapa isu berbangkit pada peringkat serantau yang membabitkan kepentingan Malaysia serta Kemboja.

Kemuncak pertemuan Dr Mahathir dan Hun Sen ialah Majlis Menandatangani Perjanjian Pengecualian Cukai Berganda (DTA) serta Memorandum Persefahaman (MoU) Perjanjian Promosi Pelancongan antara kedua-dua negara. Malaysia diwakili Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah, manakala Kemboja pula diwakili Menteri Kewangan dan Ekonomi, Aun Pornmoniroth, serta Menteri Pelancongan, Dr Thong Khon, pada majlis berkenaan. Ia mencipta rekod pencapaian tersendiri apabila Kemboja adalah negara ASEAN terakhir menandatangani DTA dengan Malaysia, sekali gus berpotensi meningkatkan lagi prestasi dagangan kedua-dua negara.

Dr Mahathir dan Hun Sen turut dijadual mengeluarkan kenyataan bersama sejurus selesai pertemuan mereka pada pagi ini. Untuk rekod, Malaysia dan Kemboja merekodkan nilai dagangan mencecah RM1.78 bilion dalam enam bulan pertama tahun ini, meningkat 39.2 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu. Secara keseluruhan, ada 400 syarikat Malaysia beroperasi di Kemboja ketika ini membabitkan pelbagai sektor, termasuk perbankan, makanan, hospitaliti, hartanah, petroleum dan perhotelan. – BH Online

Leave a Reply