M Update, 17/9/2019 – Cadangan penganjuran Kempen Pemilikan Rumah (HOC) kepada pembeli warga asing bagi menyelesaikan isu lambakan rumah mewah tidak terjual adalah sebahagian daripada usaha untuk memulihkan ekonomi negara.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin, berkata dengan langkah itu, kerajaan dapat mencairkan keadaan ekonomi negara dan membuka lebih peluang kepada pemaju untuk merancakkan projek pembangunan perumahan mampu milik di negara ini.
“Masih terdapat segelintir yang kurang memahami konsep ekonomi negara dan terus memberikan kritikan berhubung pelaksanaan cadangan itu. Konsep ekonomi negara apabila melihat keadaan seperti ini kita harus cuba menyelesaikan antaranya dengan mencairkannya demi memulihkan ekonomi serta industri perumahan.
“Cadangan penganjuran Kempen Pemilikan Rumah (HOC) bagi menyelesaikan isu lambakan rumah mewah tidak terjual kepada warga asing adalah usaha untuk memulihkan ekonomi negara. Kerajaan tidak sewenang-wenangnya menjual rumah-rumah mewah yang tidak terjual secara lelongan seperti pisang goreng panas sebaliknya ada prosedur yang perlu diikuti. Sekiranya ia terbeku di situ sahaja akan menyebabkan 140 industri hiliran yang terbabit dengan pembangunan industri perumahan terjejas dan perlu diatasi segera,” katanya.
Beliau berkata demikian mengulas mengenai kritikan yang dilemparkan beberapa pihak berhubung penjualan rumah mewah yang didakwa banyak dijual kepada warga China dan Hong Kong. Penjualan rumah itu kelak tidak mudah dan mengikut prosedur yang ditetapkan.
Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) bersama Kementerian Pelancongan dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan meneliti semula pakej Program Malaysia Rumah Keduaku (MM2H) dan melihat penambahbaikan yang boleh dibuat sama ada bersesuaian dengan pelaksanaan cadangan penganjuran HOC itu,” katanya.
Melalui proses pencairan dengan penjualan rumah-rumah mewah tidak terjual itu membolehkan pihak bank dapat menerima bayaran daripada pemaju. Ini sekali gus dapat merancakkan lagi aktiviti ekonomi, pekerjaan, termasuk merancakkan projek-projek rumah mampu milik yang kerajaan ingin laksanakan,” katanya.
Baru-baru ini, Zuraida mencadangkan kempen HOC bagi menarik pembeli dari China dan Hong Kong untuk menyelesaikan isu lambakan rumah mewah di negara ini yang bernilai kira-kira RM100 bilion. Katanya, ia menjadi tanggungjawab KPKT untuk memastikan rumah terbabit terjual dalam mewujudkan Malaysia sebagai sebuah negara yang mempunyai landskap yang baik.
Cuba bayangkan dalam tempoh 10 tahun akan datang sekiranya kita tidak habiskan jualan hartanah yang tidak terjual ini pasti landskap negara dipenuhi dengan bangunan terbengkalai, kotor dan uzur. Jadi, adakah kita mahu melihat keadaan Malaysia seperti itu?” katanya. – BH Online