M Update, 27/9/2019 – Diskaun bil elektrik sebanyak 20 peratus akan diberikan kepada pengusaha Taman Asuhan Kanak-Kanak (TASKA) di Semenanjung yang berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi tempoh bermula 1 November ini hingga 31 Disember 2020.
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Hannah Yeoh, berkata keputusan yang dipersetujui kerajaan itu bertujuan membantu mengurangkan kos pengoperasian dan menggalakkan pendaftaran TASKA dengan JKM. Katanya, diskaun itu terpakai kepada pengusaha atau pemilik TASKA yang dikenakan bil elektrik di bawah kategori tarif komersial (Tarif B) oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB).
“Pemberian ini berdasarkan keprihatinan kerajaan terhadap keperluan untuk memantau operasi TASKA yang mana sehingga Ogos lalu, hanya 4,744 TASKA yang berdaftar dengan JKM di seluruh negara dan daripada jumlah itu 3,398 adalah di Semenanjung.
“Jumlah ini (4,744) hanya mewakili 11.9 peratus berbanding keperluan TASKA bagi populasi kanak-kanak di bawah usia empat tahun yang dianggarkan memerlukan 40,000 TASKA,” katanya pada sidang media pengumuman pemberian diskaun berkenaan di sini hari ini.
Inisiatif itu juga bertujuan meningkatkan pendaftaran TASKA dengan JKM bagi tujuan pemantauan demi kebajikan dan keselamatan kanak-kanak di TASKA. Menerusi inisiatif itu, kementerian berkenaan menyasarkan peningkatan 10 peratus pendaftaran TASKA dengan JKM pada tahun depan.
Sebarang rujukan lanjut berkaitan inisiatif ini pengusaha TASKA boleh menghubungi Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah (PKMD),” katanya. Kerajaan juga sedang meneliti untuk mengadakan perbincangan dengan Sarawak Energy Berhad (SEB) dan Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) supaya pemberian diskaun ini turut sama dinikmati pengusaha TASKA di Sabah dan Sarawak.
Sementara itu, Bee Yin berkata, diskaun yang diberikan adalah daripada penjimatan mekanisme Peraturan Berasaskan Insentif (IBR) di Semenanjung.
“Jika semua 40,000 TASKA (yang diperlukan berdasarkan populasi kanak-kanak) didaftar, ia akan membabitkan kos RM10 juta dan kementerian saya sedia menyediakan dana itu melalui mekanisme IBR ini,” katanya.
Sumber : BH Online