M Update, 8/10/2019 – Proses pengesahan semula Langkawi UNESCO Global Geopark (LUGGp) yang dijalankan Ogos lalu, menyaksikan pulau ini berjaya diberikan kad hijau seterusnya mengekalkan status itu buat kali ketiga.
Ketika mengumumkan berita gembira itu, Ketua Pegawai Eksekutif Langkawi (LADA) Dr Hezri Adnan, berkata pihaknya dimaklumkan mengenai keputusan itu oleh UNESCO Global Geopark kira-kira seminggu lalu.
“Kita baru terima keputusan tidak rasmi daripada UNESCO Global Geopark menerusi pekeliling dan turut dipaparkan di laman sesawang mereka yang Langkawi tersenarai sebagai antara satu geopark yang diberikan kad hijau.
Keputusan rasmi hanya akan dikeluarkan pada April 2020, namun kita dimaklumkan sudah boleh berkongsi berita baik ini dengan seluruh penduduk Langkawi dan Malaysia,” katanya. Mengulas lanjut, Hezri berkata berdasarkan maklumat awal yang diterima, UNESCO Global Geopark berpuas hati dengan pelaksanaan konsep geopark di Langkawi.
“Kalau dilihat komen yang diberikan oleh UNESCO Global Geopark memang lebih baik berbanding apa yang diterima pada 2015, maksudnya kita ada beberapa penambahbaikan yang diiktiraf mereka,” katanya. Sebagai rekod, proses pengesahan semula status LUGGp dijalankan oleh dua pakar, Dr Kirstin Lemon dari Ireland dan Sigurður Sigursveinsson dari Iceland selama lima hari bermula 7 hingga 11 Ogos lalu.
Langkawi diisytihar sebagai sebuah Geopark oleh Global Geopark Network (GGN) yang bernaung di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada 1 Jun 2007. Status itu bagaimanapun tertakluk kepada penilaian semula yang dilaksanakan setiap empat tahun, sekali gus meletakkannya sebagai geopark pertama di rantau Asia Tenggara. Pulau pelancongan bebas cukai ini berjaya mengekalkan status ini untuk dua proses penilaian semula yang dijalankan pada 2011 dan 2015. – BERNAMA