M Update, 9/10/2019 – Persatuan Sepakbola Seluruh Indonesia (PSSI) dikenakan hukuman denda 45,000 Swiss franc (RM190,000) atau Rp 643 juta susulan keganasan penonton ketika aksi kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 menentang Malaysia di Jakarta, awal bulan lalu.
PSSI menerima hukuman yang dikenakan oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA), menurut laporan agensi berita Antara yang memetik kenyataan rasmi persatuan itu dalam laman web mereka.
“PSSI menghormati proses perundangan dan keputusan diambil FIFA. Kami akan memenuhi kewajipan kami dan membuat penilaian supaya insiden serupa tidak berulang,” kata Setiausaha Agung PSSI, Ratu Tisha Destria.
Beliau berkata, PSSI akan melakukan segala-galanya bagi mengelak sebarang keganasan selepas ini. Beberapa penyokong fanatik Indonesia membaling botol air minuman dan bom asap ke arah peminat Harimau Malaya pada aksi di Stadium Gelora Bung Karno, 5 September lalu. Perlawanan yang dimenangi Malaysia 3-2 itu terhenti selama 10 minit. – HM Online